Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel cukup kecewa, cukup terkilan dengan cara dia diperlakukan oleh pengurusan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

Bukan kerana dia direhatkan dari terus membimbing pasukan itu berkuatkuasa serta-merta selepas hanya satu perlawanan Piala Malaysia, tetapi pengendali berusia 41 tahun itu berpendapat ianya tidak diuruskan dengan professional oleh persatuan itu.

“Saya boleh menerimanya secara terbuka, ini adalah asam garam dalam bolasepak. Tetapi setidak-tidaknya mereka boleh menunjukkan sedikit rasa hormat kepada saya dengan memanggil untuk berjumpa dan menjelaskan mengenai kedudukan saya.

“Tiba-tiba saya menerima surat dari pengurusan sebelum sesi latihan pada Isnin dan kemudiannya pengurus pasukan memaklumkan saya bukan lagi jurulatih pasukan. Ini bukan cara yang betul dan tidak professional,” ujarnya yang mula membimbing skuad warga kota sejak 2017.

Tambah Fabio lagi, “Ini adalah kali pertama sepanjang saya bergelar jurulatih professional, saya mendengar istilah direhatkan. Mungkin ia adalah cara sopan untuk memberitahu bahawa anda sudah dipecat. Terima kasih atas layanan ini apapun saya harap pasukan ini akan terus berjaya.”

Fabio membawa Kuala Lumpur menjuarai Liga Premier pada musim lalu seterusnya layak beraksi di Liga Super dan kemudiannya memastikan mereka terselamat daripada kembali tersingkir apabila menamatkan saingan di tangga kesepuluh dengan 24 mata hasil tujuh kemenangan dan tiga seri.

Untuk rekod, Fabio adalah jurulatih ketujuh pasukan Liga Super untuk direhatkan atau ditamatkan kontrak selepas Sathit Bensoh, Ramon Marcote, Jorg Steinbrunner, P.Maniam, Azraai Khor Abdullah dan Eric Williams manakala dua lagi jurulatih Fajr Ibrahim dan Ulises Morais meletakkan jawatan.

Buat sementara ini tugas selaku jurulatih pasukan Kuala Lumpur akan dipangku oleh penolong jurulatih, Chong Yee Fatt.

Sementara itu, bekas jurulatih skuad kebangsaan Timor Leste itu berharap KLFA akan bersikap lebih professional di dalam menguruskan pampasan baki kontraknya yang masih berbaki sehingga November nanti. MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -