Melaka mengesahkan kejuaraan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2018 dengan baki empat perlawanan dalam tangan selepas menewaskan Kuantan Rangers 2-1 pada Selasa.

Ia adalah kemenangan ke-14 berturut-turut buat skuad yang dilimpahi pemain kebangsaan itu, menyaksikan mereka unggul menerajui carta liga dengan 42 mata, 15 mata mengatasi pencabar terdekat Perak dan Selangor United MPSJ.

Aksi berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam itu menyaksikan skuad bimbingan Mohamad I’sah Abdul Rahim ketinggalan menerusi jaringan Syafiq Hamzah di awal separuh masa pertama namun bangkit meraih tiga mata menerusi dua jaringan tonggak skuad kebangsaan, Abu Haniffa Hasan.

“Kuantan Rangers bermain dengan begitu baik dan menyukarkan pasukan saya untuk menyesuaikan diri pada mulanya, tetapi pemain menunjukkan ketenangan untuk mengawal permainan dan mencipta peluang. Setelah mendapat satu gol keyakinan mereka semakin memuncak.

“Secara keseluruhan ianya musim yang cukup cemerlang bagi pasukan ini, bukan mudah untuk mengekalkan kejuaraan. Pemain-pemain tidak pernah cepat berpuas hati dan mereka sentiasa meningkatkan prestasi dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain. Kredit kepada segala usaha yang telah mereka tunjukkan,” kata I’sah.

Tempat kedua kini menjadi buruan antara lima pasukan – Perak, Selangor MPSJ, Pahang (22 mata), Kuantan Rangers (21 mata) dan KL City (21 mata).

Pengendali Kuantan Rangers, Faizul Gaffar pula berkata, “Melihat kepada keputusan memang ia mengecewakan, tetapi dari segi prestasi saya perlu puji pemain-pemain saya. Mereka tidak gentar berdepan Melaka yang dibarisi nama-nama besar dalam futsal.

“Melaka telah menjaringkan 80 gol dalam 13 perlawanan, dan kami bolos dua gol sahaja, malah kami mencipta empat atau lima peluang jaringan dan begitu hampir melakukan upset. Kami tidak boleh terus meratapi minggu yang mengecewakan ini dan yang penting adalah empat perlawanan seterusnya tidak boleh lagi melakukan sebarang kesilapan.”

Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Futsal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Rosmadi Ismail dan ketua jurulatih skuad kebangsaan Chiew Chun Yong yang sedang menilai pemain bagi menghadapi Kejuaraan AFF 2018 di Indonesia, November depan.

Rosmadi menganggap penganjuran LFK pada tahun ini telah menepati objektif dan menjelaskan jawatankuasa futsal sedang merangka kertas cadangan untuk memastikan ianya akan berlangsung lebih meriah pada tahun hadapan. MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -