Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mewujudkan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya untuk proses bedah siasat berhubung laporan prestasi pasukan kebangsaan pada Piala AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi kenyataan media hari ini menjelaskan, Jawatankuasa itu bakal diketuai bekas pemain kebangsaan dan mantan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan.

Datuk Dell Akbar diberi mandat untuk melantik beberapa individu lain dimana mereka  pernah memegang jawatan dalam bola sepak, termasuk bekas pemain serta jurulatih, tetapi tidak memegang sebarang jawatan mahupun menganggotai mana-mana jawatankuasa FAM ketika ini.

“Tugas utama badan bebas ini adalah untuk melakukan bedah siasat terlebih dahulu, terhadap laporan dan analisis lengkap daripada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura, yang telah pun siap dan diserahkan kepada Sekretariat FAM, baru-baru ini.

“Hasil bedah siasat daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya ini seterusnya akan dibentangkan oleh Datuk Dell Akbar, bersama langkah-langkah penambahbaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan,”katanya.

Malaysia menamatkan saingan Piala AFF 2020 dikedudukan ketiga kumpulan B hasil dua kemenangan dan dua kekalahan sekaligus gagal mara ke pusingan separuh akhir dan gagal mencapai sasaran FAM untuk mara ke final.

Ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengambil tanggungjawab diatas kegagalan Harimau Malaya apabila melepaskan jawatannya sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya.

 

- Advertisement -