Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), telah melepaskan ketua jurulatih B23 kebangsaan, Brad Maloney secara persetujuan bersama oleh kedua-dua belah pihak.

Ia dicapai selepas Maloney, 50, hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya, bagi membentangkan laporan prestasi pasukan kendaliannya pada Sukan SEA 2021 di Vietnam, Mei lalu dan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, Jun lalu.

Maloney merakamkan ucapan terima kasih kepada FAM kerana telah memberi peluang untuk beliau berkhidmat selama lapan tahun sejak 2014 yang mana ia telah banyak membantu dalam meningkatkan karier kejurulatihannya bermula sebagai penolong jurulatih B-23 kebangsaan kepada Datuk Ong Kim Swee sehinggalah dilantik sebagai ketua jurulatih B-19 kebangsaan pada 2019 dan seterusnya ketua jurulatih B-23 kebangsaan. – www.fam.org.my

- Advertisement -