mohd-faiz-subri

Oleh Muhammad Aiman

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan akan menaja tiga tiket penerbangan kelas perniagaan kepada isteri dan dua anak Mohd Faiz Subri ke Zurich, Switzerland bagi menghadiri Majlis Anugerah Bola Sepak FIFA 2016 pada 9 Januari 2017.

FAM dalam satu kenyataan mengatakan ia sebagai menghargai kejayaan Faiz yang mencipta sejarah sebagai pemain bola sepak pertama dari Malaysia tercalon merebut Anugerah Puskas FIFA 2016.

Kehadiran Faiz sebagai tiga calon akhir anugerah tahunan gol tercantik di dunia itu bersama-sama Marlone, pemain tengah kelab Brazil, Corinthians dan Daniuska Rodriguez, pemain skuad B-17 wanita Venezuela akan ditaja sepenuhnya oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Justeru, Faiz sebelum ini memohon pertimbangan FAM agar dapat membawa isterinya, Norzawanis Hashim, 29, serta dua anaknya, Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan yang berusia lapan bulan menghadiri acara berprestij itu yang dihadiri bintang bolasepak terkemuka dunia antaranya Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.   

Selain isteri dan dua anaknya, Mohd Faiz akan turut ditemani wakil daripada FAM iaitu Timbalan Presiden, Dato’ Sri Afandi Hamzah – mereka dijadual berlepas dari Kuala Lumpur pada Ahad, 8 Januari 2017 dan dijangka tiba di tanah air pada 11 Januari 2017.

Gol jaringan sepakan percuma Faiz ketika Pulau Pinang menentang Pahang pada Februari lalu yang disifatkan sebagai ‘melanggar hukum fizik’ disebut-sebut sebagai pilihan utama untuk meraih Anugerah Puskas, yang pernah dimenangi Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan juga James Rodriguez. 

Setakat ini, gol itu telah ditonton lebih 2 juta penonton dan peluang untuk mengundi Mohd Faiz masih terbuka sehingga 9 Januari depan. Seandainya menang, Mohd Faiz akan melakar sejarah bukan sahaja pemain Malaysia pertama, tetapi pemain Asia pertama untuk dinobatkan sebagai pemenang anugerah itu.

- Advertisement -