Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin mengumumkan peletakan jawatan ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah selepas pengendali berusia 45 tahun itu mendapat tawaran lain bagi meneruskan karier kejurulatihannya musim depan.

Biarpun Yusri masih berbaki setahun daripada dua tahun kontraknya bersama pasukan berkenaan, FAM dan beliau telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak tersebut.

FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Yusri atas khidmatnya sepanjang semusim mengendalikan Skuad Projek FAM-MSN bagi saingan Liga Premier 2021 dan mendoakan agar beliau berjaya dengan karier baharunya nanti.

Bagi mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN itu untuk menghadapi saingan Liga Premier 2022, FAM dan MSN akan mengadakan sesi temuduga calon-calon dalam masa terdekat dan akan mengumumkan siapa ketua jurulatih baharu pasukan berkenaan selepas keputusan dibuat.

- Advertisement -