DUA gol padang Muhammad Danish Aqasha Khairul pada dua suku pertama membantu BJSS Thunderbolts mengatasi penyandang juara SSTMI 3-0 sekaligus menjulang kejuaraan Divisyen 1 TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNBMHJL) 2021.

Berbaki satu perlawanan bertemu SSTMI Junior Jumaat ini, BJSS Thunderbolts mengesahkan kedudukan sebagai juara selepas pencabar terdekat SSTMI Thunderbolts gagal memberikan saingan dan melengkapkan kempen enam perlawanan kumpulan mereka dengan 10 mata.

BJSS Thunderbolts berada dalam kedudukan selamat selepas mengumpul 12 mata keseluruhanyang pastinya tidak dapat lagi dicabar pasukan lain.

Kejayaan Muhammad Danish Aqasha Khairul menemui sasaran pada minit ke-15 dan 22 meletakkan BJSS dalam kedudukan selesa sebelum Muhammad Amirul Khairuddin melengkapkan kemenangan BJSS pada minit ke-37.

Pencabar terdekat, AHP-SSP-MSP Thunderbolts , yang juga mempunyai baki satu perlawanan Jumaat ini, meraih tiga mata penuh menewaskan SSTMI Juniors 3-1 hari ini tetapi sekadar berada di tangga ketiga dengan 8 mata keseluruhan.

Selain BJSS Thunderbolts dan SSTMI Thunderbolts sebagai juara dan naib juara Divisyen 1, AHP-SSP-MSP Thunderbolts, SMKDBL-PHJ-MSNJ, MPBJ Tigers dan Anderson Thunderbolts selain juara dan naib Juara Divisyen 2 layak ke saingan suku akhir Piala TNBMHJL yang bermula Isnin depan (27 Disember).

Di suku akhir, BJSS Thunderbolts dijadual bertemu naib juara Divisyen 2 manakala SSTMI Thunderbolts dijadualkan bertemu juara Divisyen 1.

Perlawanan hari ini juga menyaksikan SMKDBL-PHJ-MSNJ melakar kemenangan kedua mengatasi MBPJ Tigers 2-1 untuk meraih kedudukan keempat liga.

Sementara itu, salam saingan Divisyen 2A, MSNS/PHS mudah mengatasi Torpedo/Silverstate HC 3-0 untuk mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Divisyen 2A dengan 18 mata keseluruhan.

Juara Divisyen 2A akan ditentukan esok apabila MSNS/PHS bertembung dengan Kedah Eagle Juniors (16 mata) yang tiada pilihan kecuali menang sekiranya mahu muncul juara musim ini. Bagi MSNS/PHS pula, keputusan seri sudah memadai untuk bergelar juara Divisyen 2A.

- Advertisement -