CIMB Classic logoOleh Ku Mohd Lufti

Pemain golf muda negara, Gavin Kyle Green tampak tidak lagi merasakan gementar selepas tamat hari kedua Kejohanan Golf CIMB Classic 2016.

Selepas bermain 36 lubang di TPC Kuala Lumpur, pemain berusia 22 tahun itu kekal konsisten dengan merekodkan 71 pukulan, satu di bawah par untuk catatan terkumpul selepas dua pusingan 142 pukulan, dua di bawah par.

Keputusan itu membolehkan dia berkongsi kedudukan ke-46 bersama tujuh lagi pemain termasuk bintang Afrika Selatan Ernie Els, Jhonattan Vegas (Venezuela), Jim Herman serta Kevin Chappell (Amerika Syarikat) dan Miguel Tabuena (Filipina).

Aksi hari ini menyaksikan Green melakukan empat birdie dan tiga bogey.

Dia memberitahu, perasaannya hari ini jauh lebih baik berbanding sewaktu aksi di Terbuka Safeway, California, minggu lalu yang merupakan kejohanan pertama Jelajah PGA buat dirinya.

Katanya, dia perlu kekal tenang dalam usaha mempamerkan aksi konsisten dalam baki dua hari pertandingan itu.

“Saya perlu kekal tenang dan mahu lakukan lebih banyak birdie kerana dalam kejohanan besar seperti ini, setiap pemain mahu lakukan yang terbaik.

“Saya mahu lakukannya untuk keseluruhan rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas menamatkan permainan.

Sementara itu, seorang lagi pemain negara, Danny Chia terus hambar, menghuni kedudukan terakhir selepas menamatkan hari kedua 78 pukulan, enam di atas par, untuk catatan terkumpul, 155 pukulan, 11 di atas par.

- Advertisement -