rbks-vs-kie-ht-2

Oleh Ku Mohd Lufti

Kemuncak bagi saingan TNB-QNET Liga Hoki Selangor 2016 semakin hampir khususnya perebutan dua tempat teratas bagi Divisyen 3 A dan B yang akan bertarung untuk menentukan juara Divisyen 3 bagi tahun 2016.

Saingan Divisyen 3 B tampak cukup mendebarkan apabila empat pasukan bertarung sengit untuk merebut dua tempat teratas.

Selepas tamat enam perlawanan, Senil Solutions mengungguli tangga teratas Divisyen 3B meskipun mencatat keputusan seri ke atas Puchong HC.

Perlawanan keenam nyata penting buat Puchong HC yang memerlukan kemenangan ke atas Senil Solutions untuk mencerahkan peluang ke peringkat separuh akhir.

Puchong HC mendapat suntikan semangat apabila Mohd Noor Khairul Azrin meletakkan pasukannya didepan 1-0 di minit ke 28.

Namun, impian untuk meraih mata penuh tidak kesampaian apabila Jasveer Singh menyamakan kedudukan dipenghujung perlawanan sekaligus kedua dua pasukan pulang dengan satu mata.

Senil Solutions mengumpul 14 mata, manakala Puchong Hc di tangga ketiga dengan 11 mata.

Tangga kedua pula milik Goodwood HC yang melakar kemenangan ke atas Gurstick HC untuk meraih 3 mata penting sekaligus mengiringi Senil Solutions ke peringkat separuh akhir.

Dalam saingan Divisyen 3A, rekod kemenangan 100 peratus pendahului IIUM Mustangs dicalar Synergy HC selepas kedua dua pasukan terikat satu sama.

IIUM Mustangs yang melakar kemenangan selesa 6-1 ke atas River Blue Gombak minggu lalu tidak menjangkakan saingan sengit daripada Synergy HC yang telahpun gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Synergy HC melakar kejutan apabila membuka tirai gol di minit ke 36 apabila Sivanesan Nadaraja menggegar gawang lawan hasil pukulan sudut penalti.

Jaringan tersebut nyata merenjat semangat pemain IIUM Mustangs buat seketika sebelum kembali mendominasi perlawanan. 

IIUM Mustangs menyamakan kedudukan lima minit berselang menerusi Mohd Anuar Syafir untuk memastikn kedua dua pasukan pualng dengan satu mata.

Aksi separuh akhir, IIUM Mustangs akan bertemu naib juara Divisyen 3B, Goodwood HC manakala Senil Solutions akan berdepan River Blue Kuala Selangor.

Kesemua perlawanan akan berlangsung pada 8 Oktober.

Aksi Divisyen 5 pula sudah menoktahkan empat pasukan lebih awal apabila SJI Warriors dan Pengkalan Permatang HT mendominasi Divisyen 5A manakala Gerakan Belia 4B Puchong dan STAR Klang pula mengungguli Divisyen 5B.

SJI Warriors yang mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan akan bertemu naib juara Divisyen 5B, STAR Klang manakala pendahulu Divisyen 5A, Gerakan Belia 4B Puchong dijadual bertemu Pengkalan Permatang HT.

Perlawanan peringkat separuh akhir bagi penentuan juara Divisyen 5 juga akan berlangsung pada 8 Oktober di Stadium Kementerian Pelajaran, Kuala Lumpur.

tnb-qnet-shl2016-table-week-7

- Advertisement -