Atlet Angkat Berat Malaysia Mohd Afifi Mansor mengetuai larian dari Dataran Austin dan berakhir di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Kredit Foto – Mohammad Soffi / www.asiana.my

Kecederaan yang menghantui atlet angkat berat negara, Hafifi Mansor tampak tidak memberikannya tekanan, sebaliknya beliau tampak optimis untuk beraksi di temasya Sukan SEA ke 29 kelak.

Hafifi yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow pada 2014 berkata, beliau telah menjalani latihan ringan sejak minggu lalu.

“Doktor sudah buat pemeriksaan, dan segalanya bergantung kepada pegawai yang mengendalikan sesi fisioterapi dan jungle gym saya.

“Doktor bagi tempoh enam minggu untuk pulih, tetapi saya berjaya pulih dalam tempoh tiga minggu  dan sudah boleh melakukan latihan ringan ,”kata Hafifi.

Beliau antara 200 peserta yang terlibat dalam Larian Obor Kuala Lumpur 2017 yang bermula di Kuala Nerus dan tamat di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pagi tadi.

Tambah Hafifi, beliau mendapat suntikan semangat apabila jaguh angkat berat dari Indonesia, Triyatno tidak mengambil bahagian dalam acara 69 kg di Sukan SEA nanti.

“Semalam saya dapat berita atlet Indonesia yang beraksi dalam acara 69 kilogram di Olimpik London 2012 (Triyatno) tidak akan mengambil bahagian, kerana ada masalah dengan jurulatih.

2014 Commonwealth Games Glasgow - Mohd Hafifi Bin Mansor
Atlet angkat berat; Mohd Hafifi Bin Mansor (lahir pada 28 Oktober 1990) mula mencipta nama setelah memenangi pingat emas bagi acara 69kg di Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland. Kredit Foto – Richard Heathcote/Getty Images Europe

“Selain Indonesia, Thailand juga merupakan pencabar terdekat saya untuk meraih emas, jadi tiga atlet dari negara ini akan berebut untuk meraih pingat ,”katanya lagi.

Hafifi kembali seketika ke Terengganu untuk bersama ibunya sebelum terbang untuk kembali menjalani latihan di China pada 29 Julai.

Mengakui proses pemulihannya terlalu pantas daripada jadual yang disarankan doctor, beliau akan cuba mengelak daripada berlaku kecederaan ditempat yang sama.

Pemegang rekod kebangsaan itu mengalami kecederaan dibahagian otot pahanya ketika cuba untuk mengangkat beban 190kg. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -