Pemain muda Pahang Rangers, Hamdin Zarif Mahmun mengakui seronok dengan kehadiran tonggak Harimau Malaya Ridzwan Bakri ke dalam skuad Pahang Rangers musim ini.

Menurut pemain berusia 19 tahun itu, Ridzwan atau dikenali sebagai Iwan adalah salah seorang pemain yang menjadi idolanya sejak terbabit dengan futsal dan dia cukup mengagumi kelincahan serta gaya permainan pemain itu yang terkenal sebagai pakar ‘dribble’.

“Saya mula terlibat dengan futsal sebab selalu main kejohanan-kejohanan peringkat umur seperti B15/B16/B17, pernah juga main Grandfinal Milo B16, dan ‘liga haram’ sebelum disuruh menyertai pemilihan dengan Kuantan Rangers (nama lama Pahang Rangers) dan terpilih menyertai akademi pasukan ini pada dua tahun lalu.

“Dalam futsal, saya cukup meminati Ricardinho (Pemain Terbaik Dunia sebanyak 6 kali), manakala di peringkat tempatan minat Iwan. Suka tengok permainan dia, semua tahu dia kaki ‘dribble’, dulu selalu tengok dari jauh, sekarang satu pasukan, memang cukup teruja.

“Tidak sabar menunggu sesi latihan kembali bersambung. Banyak yang saya mahu belajar dengan dia, mana tahu satu hari boleh jadi kaki dribble jugak,” ujar Hamdin.

Ridzwan yang merupakan salah seorang tonggak utama pasukan kebangsaan kendalian Chiew Chun Yong mewakili Perak selama dua musim sebelum dia bersama seorang lagi bintang Harimau Malaya, Awalluddin Mat Nawi direkrut Pahang Rangers bagi musim 2020.

Kemasukan dua pemain itu menyaksikan Pahang Rangers kini mempunyai sekurang-kurangnya lapan pemain kebangsaan di dalam pasukan termasuklah kapten Khairul Effendy Bahrin, Abu Haniffa Hasan, Saifulnizam Mohd Ali, Azwann Ismail, Syafiq Hamzah dan Harith Naim Mohd Nasir.

Dalam saingan Malaysia Premier Futsal League 2019, Ridzwan berkongsi kedudukan penjaring terbanyak dengan 18 gol bersama dua lagi pemain iaitu Saifulnizam dan Muhd Fariq (Selangor).

- Advertisement -