Johor Darul Takzim memerlukan hanya satu mata sahaja lagi dari empat perlawanan yang berbaki untuk menjulang trofi Liga Super buat kali keempat berturut-turut.

Skuad Harimau Selatan itu mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas dengan 45 mata setelah bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Perak 2-1 di Stadium Larkin pada Rabu dan kekal mengatasi pasukan tangga kedua, Kedah dengan kelebihan 11 mata.

Ini bermakna skuad bimbingan Ulisses Morais akan sekali lagi mempertahankan kejuaraan Liga Super yang dimenangi sejak 2014 andai berjaya mengelakkan kekalahan dalam aksi seterusnya menentang Selangor di Stadium Selayang pada 5 Ogos depan.  

Dalam aksi menentang Perak yang juga satu-satunya pasukan menewaskan mereka musim ini pada Februari lalu, JDT ketinggalan pada minit akhir separuh masa pertama menerusi sepakan percuma Hafiz Kamal yang gagal diselamatkan Izham Tarmizi Roslan.

Fadhli Shas menyamakan kedudukan dua minit selepas permainan kembali bersambung dan keputusan kontroversi pengadil membolehkan JDT menjaringkan gol kemenangan menerusi Mohamed Ghaddar pada minit ke-59.

Kedah pula mengukuhkan peluang untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua setelah menjinakkan Kelantan dengan keputusan 5-0 di Stadium Darul Aman.

Skuad bimbingan Nidzam Adha Yusoff itu mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi pemain pertahanan Ariff Farhan Md Isa pada minit ketujuh dan empat gol menyusul di separuh masa kedua dengan Ken Ilso Larsen dan Sandro Da Silva masing-masing menjaringkan dua gol.  

Di utara tanah air, Pahang terlepas peluang menghimpit kedudukan Kedah setelah tewas mengejut 0-2 kepada pasukan tangga tercorot, Pulau Pinang.  Gol buat skuad Zainal Abidin Hassan itu dijaringkan oleh Mark Hartmann (m-8) dan Sanna Nyasi (m-65) sekaligus menyaksikan mereka mencatat kemenangan ketiga musim ini.

Pahang kekal di tangga ketiga dengan 30 mata namun kekalahan terbaru ini menyaksikan mereka kini hanya berkelebihan satu mata ke atas pasukan tangga keempat, Felda United.

Felda Utd bimbingan B.Sathianathan menghampiri kedudukan tiga teratas setelah menewaskan Selangor 3-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka menerusi jaringan Thiago Augusto (m-40), Ifedayo Alusegun (m-44) dan Shukor Adan (m-76).

Gol tunggal Selangor dijaringkan oleh penyerang Liberia, Francis Forkey Doe pada minit akhir separuh masa pertama.

Sementara itu, persaingan di kalangan pasukan yang bergelut di zon penyingkiran juga tidak kurang hebatnya. PKNS FC terus memperbaiki kedudukan apabila melonjak ke tangga ketujuh dengan 21 mata setelah menewaskan T-Team 2-1.

Manakala Melaka mencuri tumpuan di Stadium Hang Jebat apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Sarawak 4-2.

Sarawak mendahului 2-0 menerusi jaringan Mateo Roskam (m-23) dan Tommy Mawat (m-29) sebelum Melaka meledak empat jaringan melalui Marko Simic (m-31), Fauzi Roslan (m-34), R.Surendran (m-41) dan Felipe De Souza (m-90) untuk mencatat kemenangan ketiga mereka musim ini.

Melaka di tangga kesepuluh dengan 15 mata, hanya satu mata mengatasi Sarawak dan persaingan mengelak tersingkir ke Liga Premier kini sengit membabitkan empat pasukan – Kelantan, Melaka, Sarawak dan Pulau Pinang. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -