Skuad bolasepak kebangsaan negara memuktamadkan aksi persahabatan antarabangsa yang keenam selepas disahkan bakal berdepan Maldives.

Kenyataan media Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan perlawanan diantara skuad kendalian Tan Cheng Hoe dan Maldives dijadual berlangsung pada 3 November depan di Stadium Nasional, Bandar Sukan Bukit Jalil.

Perlawanan Maldives adalah yang keenam bagi aksi persahabatan antarabangsa ‘A’ sebagai persiapan Harimau Malaya untuk mengharungi Piala AFF 2018.

FAM sebelum ini mengesahkan telah memuktamadkan aksi persahabatan antarabangsa bermula dengan Fiji pada 5 Julai diikuti Taiwan pada 7 September sebelum berdepan Kemboja tiga hari berikutnya.

Persiapan juara 2010 ini diteruskan dengan perlawanan menentang Sri Lanka pada 10 Oktober dan Republik Kyrgyztan pada 16 Oktober.

Malaysia diundi dalam kumpulan A bersama sama Kemboja, Laos, Vietnam dan Mynamar.

Aksi sulung Piala AFF 2018, Malaysia akan bertandang ke gelanggang lawan di Phnom Penh pada 8 November untuk memburu kemenangan pertama, menentang Kemboja.

Malaysia menghuni tangga ke 171 dunia dalam ranking FIFA setakat 7 Jun 2018.

 

- Advertisement -