Skuad B-19 negara akan turun menentang Brunei dalam aksi kedua pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Paju, Korea Selatan hari ini.
Walaupun jauh berbeza kualiti, ketua jurulatih, Bojan Hodak tetap tidak mengambil mudah cabaran pasukan dari Borneo itu yang pastinya tidak mahu maruah mereka terus dicalar setelah mengalami dua kekalahan besar kepada Indonesia (0-5) dan Korea Selatan (0-11).
Malaysia pula memburu kemenangan kedua untuk menghidupkan peluang ke pusingan akhir di Indonesia tahun hadapan setelah membuka kempen dengan langkah kanan menewaskan Timor Leste 3-1 pada Selasa lalu.
āPenting untuk kita memenangi perlawanan ini tetapi saya ingatkan pemain supaya tidak terlalu yakin. Kita tetap perlu waspada kerana Brunei tidak akan memberi laluan mudah.
āMereka sudah tentunya akan bermain defensif sekali lagi dan menyukarkan barisan serangan kita memburu jaringan. Jadi, kita perlu turun dengan strategi yang berkesan untuk memecahkan pertahanan mereka,ā kata Bojan.
Bekas pengendali Johor Darul Takzim itu turut menyatakan bahawa dia akan memberi peluang kepada beberapa pemain yang tidak beraksi ketika menentang Timor Leste untuk membuat penampilanĀ bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kekuatan pasukannya. Ā
Dengan tiga mata, skuad negara ketika ini berada di tangga ketiga Kumpulan F di belakang Indonesia (6 mata) dan Korea Selatan yang turut mengumpul tiga mata.
Berdasarkan format, 10 juara kumpulan dan lima pasukan naib juara terbaik akan menyertai tuan rumah Indonesia di pusingan akhir. Namun seandainya Indonesia muncul juara Kumpulan F ataupun berada dalam kalangan lima pasukan naib juara terbaik, maka enam pasukan naib juara akan layak ke pusingan akhir. OLEH MUHD AIMANĀ