india-mas-hoki

Oleh Muhammad Aiman

Di sebalik memberi tentangan sengit, pasukan hoki negara gagal menyekat India dari melakar kemenangan 2-1 dalam aksi Trofi Juara-Juara Asia QNET 2016 di Stadium Hoki Kuantan.

Ia adalah kemenangan keempat buat skuad bimbingan Roelant Oltmans, sekaligus menyaksikan mereka mengakhiri saingan peringkat kumpulan selaku juara dengan 13 mata, manakala The Speedy Tigers kekal di tangga kedua dengan sembilan mata, diikuti Korea Selatan (7) dan Pakistan (6).

India yang masih segar dengan kemenangan besar 9-0 ke atas China, tidak menunggu lama untuk mendahului apabila ketua pasukan Rupinder Pal Singh menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-12.

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia bingkas bangkit menyusun permainan dan berhasil menyamakan kedudukan hanya lima minit selepas itu menerusi pukulan sudut penalti Razie Rahim dan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Pertahanan skuad negara tampak bermain dengan lebih berdisiplin dan berjaya mengurangkan kesilapan-kesilapan mudah, malah beberapa kali mengagalkan gerakan serangan pasukan lawan.

Pada ketika kedua-dua pasukan dilihat menuju keputusan seri, Rupinder menyempurnakan satu lagi pukulan sudut penalti dua minit sebelum tamat perlawanan untuk menghadiahkan Malaysia kekalahan pertama dalam empat perlawanan.

Speedy Tigers akan menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan pada Khamis dan memerlukan sekurang-kurangnya seri untuk mengesahkan kedudukan mereka di tempat kedua.

Sementara itu dalam aksi yang berlangsung terdahulu, Korea Selatan melengkapkan slot empat pasukan ke separuh akhir setelah menundukkan Jepun 4-3.

Gol buat Korea Selatan dijaringkan Kim Juhun (m-4), Jung Manjae (m-32, 49) dan Kim Seongkyu pada minit ke-46 manakala Jepun membalas menerusi Kazuma Murata, Kenta Tanaka dan Hiroki Sakamoto.

- Advertisement -