kedah-pdrm

Oleh Muhammad Aiman

Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe kembali ke tanah air tepat pada waktunya untuk mempersiapkan pasukannya bagi menghadapi aksi final Piala Malaysia menentang Selangor, Ahad ini.

Cheng Hoe tidak bersama Kedah ketika aksi terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman pada Jumaat lalu yang mana Lang Merah menewaskan Felda United 1-0, kerana berada di Bosnia untuk lawatan kerja selama tiga hari di Sarajevo FC.

Perginya Cheng Hoe ke sana, menimbulkan pelbagai spekulasi namun jurulatih berusia 48 menepis semuanya dengan tenang, “Khabar angin mengatakan saya ke Bosnia untuk mencari pemain import baru bagi Kedah adalah tidak benar. Ia hanyalah lawatan kerja selama tiga hari atas jemputan dari pihak Sarajevo FC. 

“Ia untuk meninjau peluang kerjasama dengan kelab Bosnia. Saya ketika ini hanya memikirkan mengenai final Piala Malaysia, saya belum lagi fikirkan mengenai musim depan,” kata Cheng Hoe yang terlepas keseluruhan aksi Piala Malaysia Kedah pada tahun lalu kerana menghadiri kursus kejurulatihan di China dan hanya kembali ke tanah air ketika aksi final.

Untuk makluman, Sarajevo FC dimiliki oleh ahli perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan yang juga merupakan pemilik kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City. Kedah pada 2013 menandatangani memorandum persefahaman bersama Cardiff bagi membantu meningkatkan kualiti bolasepak negeri itu, terutamanya di peringkat belia.

- Advertisement -