Oleh Muhammad Aiman

Meskipun melakar kemenangan kedua berturut-turut dengan menewaskan MISC-MIFA pada Jumaat, jurulatih Terengganu Irfan Bakti Abu Salim belum cukup berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan barisan pemainnya dan menuntut mereka untuk tampil dengan aksi lebih agresif.

Terengganu yang masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan setelah aksi pertama tempoh hari menentang PKNP FC ditunda, dikerah bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 2-1, terima kasih kepada dua jaringan pemain tengah Lutfulla Turaev di separuh masa kedua.

Kemenangan itu menyaksikan mereka melonjak ke tangga keempat 100PLUS Liga Premier, ketinggalan hanya satu mata di belakang pendahulu, Kuala Lumpur yang mengumpul tujuh mata dari tiga perlawanan.

MIFA cuba menterjemahkan kebangkitan di lewat permainan apabila mengurangkan defisit jaringan menerusi pemain import, Michael Chukwubuna sepuluh minit sebelum tamat permainan namun ia tidak memadai untuk mengelakkan mereka dari mengalami kekalahan ketiga.

Menurut Irfan, “Memang dari segi keputusan saya gembira untuk mendapat tiga mata, ia satu perlawanan yang sukar mengambil kira semangat juang tinggi yang MIFA tunjukkan tetapi saya dapati kita bermain terlalu statik dan bersahaja terutama di separuh masa pertama.

“Mereka seperti tidak banyak idea, tidak dapat mencipta gerakan atau peluang, mungkin juga disebabkan permainan bertahan diamalkan lawan sedikit menyukarkan kita. Mereka banyak berkampung di kawasan sendiri.  

“Ketika rehat, saya mengarahkan pemain untuk lebih banyak bergerak, lebih agresif dan tidak hanya mengharapkan penyerang untuk menjaringkan gol, dan hasilnya kita mendapat dua jaringan menerusi Lutfulla. Saya perlu berikan kredit di atas kerja keras yang mereka tunjukkan dan berharap mereka akan bermain lebih baik selepas ini.”

Tambah bekas pengendali Felda United itu, “Kita juga melepaskan gol mudah, ia hasil kesilapan kita sendiri dan tidak sepatutnya berlaku. Saya sentiasa mengingatkan pemain untuk mengunci pergerakan pemain lawan terutama ketika situasi ‘set-piece’ jadi ini juga antara kelemahan yang perlu segera saya perbaiki.”

Terengganu yang tersingkir ke Liga Premier setelah menduduki tangga tercorot Liga Super musim lalu, dilihat antara pasukan berpotensi mencabar kejuaraan setelah merekrut beberapa pemain tempatan berkualiti terutamanya yang pernah beraksi di bawah bimbingan Irfan ketika di Felda musim lalu.

Aksi lain 100PLUS Liga Premier pada Jumaat menyaksikan Kuala Lumpur menewaskan Uitm FC 1-0, Negeri Sembilan bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan PKNP 3-1, Kuantan FA pula menjaringkan tiga gol dalam lima minit terakhir untuk menewaskan PDRM 3-1, JDT II berpesta gol menewaskan ATM 5-1 manakala Sabah menundukkan Perlis 3-1.

- Advertisement -