
Empat emas dituai pada hari ketujuh hari ini untuk membolehkan kontinjen Malaysia terus merapat jurang menghampiri sasaran 200 pingat pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok.
Atlet lempar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin sekali lagi menjadi tumpuan apabila menyerlahkan kemampuan meraih emas ketujuh dirinya, pencapaian cemerlang sejak pertama kali memenangi emas di Syujan SEA Myanmar pada 2013.
Emas dari Irfan merupakan antara empat pingat emas yang diraih menerusi acara olahraga, boling tenpin, ekuestrian dan menembak, sekali gus meningkatkan pungutan keseluruhan negara kepada 30 emas, 31 perak dan 88 gangsa.
Irfan, mengesahkan penguasaannya di Stadium Nasional Suphachalasai dengan mencatatkan lontaran sejauh 60.23 meter, sekali gus memecahkan rekod temasya 59.50m milik atlet Singapura, James Wong Tuck Yim, yang bertahan sejak Sukan SEA Brunei 1999.
Atlet Thailand, Bandit Singhatongkul, meraih perak dengan lontaran 53.82m, manakala atlet Filipina, Russell Ricaforte, membawa pulang gangsa selepas mencatat 53.34m. Juara sejak Sukan SEA Myanmar 2013, Irfan mengukuhkan statusnya sebagai antara atlet lempar cakera paling berjaya di Asia Tenggara.
Boling tenpin akhirnya muncul menyumbang pingat emas buat Malaysia di Blu-O Rhythm & Bowl, Bangkok, sekali gus menamatkan penantian panjang sukan itu. Gandingan Rafiq Ismail dan Syazirol Shamsuddin bangkit cemerlang meraih emas acara beregu lelaki dengan jumlah 470 jatuhan pin, menewaskan pasangan Thailand, Lapasdanai Chusaeng dan Vilinkorn Kledkaew, yang mencatat 435.
“Saya gembira akhirnya dapat memenangi pingat emas bersama Syazirol. Kemenangan ini saya hadiahkan kepada Malaysia,” kata Rafiq, yang turut melengkapkan koleksi penuh pingat emas Sukan SEA dalam semua acara boling menerusi kejayaan beregu itu.
Di Lapang Sasar Menembak Photharam, penembak veteran Ong Chee Keng, mencipta detik bersejarah apabila memenangi pingat emas acara trap individu lelaki. Atlet berusia 43 tahun itu menamatkan penantian 32 tahun Malaysia untuk emas acara tersebut, sejak kejayaan terakhir oleh Heng Chai Yee pada Sukan SEA Singapura 1993.
Sukan ekuestrian turut menyumbang emas menerusi persembahan cemerlang yang memecahkan rekod oleh Megan Min Ern Ding. Bertanding di Arena Grand Prix Grimm di Chonburi, Megan yang menunggang kuda Gaudi Vita meraih emas acara dressage individu dengan catatan rekod baharu Sukan SEA sebanyak 76.252 mata.
Dalam kedudukan keseluruhan pingat, tuan rumah Thailand terus selesa di puncak carta, manakala Indonesia dan Vietnam kekal memburu apabila saingan memasuki fasa penentuan.





























