Irfan Shamsudin

Oleh Muhammad Aiman

Jaguh lempar cakera negara, Irfan Shamsudin kini mensasarkan penamat podium pada kejohanan yang akan disertainya selepas ini, setelah empat kali memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam tempoh seminggu pada penghujung bulan lalu.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu dua kali memperbaharui rekod kebangsaan 58.04m yang dilakukannya di Terbuka Malaysia Mac tahun lalu pada 22 Mei lalu menerusi lemparan sejauh 58.21m dan kemudiannya 58.33m di Kejohanan Olahraga Terbuka Wefertage Hallesche, Jerman.

Dan pada Ahad lalu, Irfan sekali lagi memperbaharui rekod itu sebanyak dua kali menerusi lemparan sejauh 58.47m dan 58.48m di Kejohanan Terbuka Memorial Liese Prokop di St Polten, Austria.

Begitupun, di kedua-dua kejohanan itu atlet muda berusia 20 tahun itu sekadar berkesudahan di tempat keempat justeru dia yang ketika ini menjalani latihan di Eropah berazam untuk terus meningkatkan prestasinya untuk pencapaian yang lebih baik selepas ini.

“Ini adalah pencapaian terbaik saya, saya berjaya perbaiki lemparan saya sebanyak 15cm hanya dalam masa seminggu. Sekarang saya semakin yakin dapat perbaiki lagi lemparan saya pada kejohanan-kejohanan selepas ini.

“Bertanding menentang atlet-atlet dari Eropah ini satu pengalaman yang hebat, mereka kerah saya untuk berikan yang terbaik. Kesemua atlet ini sangat bagus dan boleh melempar lebih dari 60m. Pada kejohanan selepas ini, saya berazam untuk menaiki podium, saya tidak mahu menamatkan pertandingan setiap kali di tempat keempat,” kata pemenang emas Sukan Sea dua kali itu.

Irfan yang menjalani latihan di Eropah selama dua bulan, perlu melakukan lemparan sekurang-kurangnya sejauh 65m sekiranya berhasrat untuk beraksi di Sukan Olimpik Rio De Janeiro pada Ogos depan.

- Advertisement -