kevin (1)

Oleh Muhammad Aiman

Isu jadual padat Liga Malaysia yang hangat dibicarakan sehingga mengundang kritikan pelbagai pihak khususnya jurulatih, tidak seharusnya timbul memandangkan kesemua pasukan sudahpun diberi taklimat dan sedia maklum mengenainya sejak sebelum musim bermula.

Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam menjelaskan ketika jadual itu dimuktamadkan pada Januari lalu, tiada rungutan atau keluhan disuarakan oleh mana-mana pasukan.

Malah menurutnya, FMLLP telahpun memberi kelonggaran kepada setiap pasukan untuk mendaftar 30 pemain berbanding hanya 25 sebelum ini, selain tidak mengenakan sebarang had bagi menyerap pemain muda ke skuad senior sebagai solusi kepada perkara ini.

Justeru, Kevin menyangkal dakwaan sinis sesetengah pihak bahawa pihaknya tidak pandai mengatur jadual perlawanan, sebaliknya menegaskan ianya dirangka setelah mengambil kira pelbagai aspek.   

Antaranya adalah peluang buat pasukan yang tersingkir awal atau tidak dapat beraksi sama ada dalam saingan Piala FA atau Piala Malaysia untuk terus beraksi sehingga penghujung musim.

Manakala penggabungan jadual Liga Super dan Piala Malaysia menurutnya dapat membantu setiap pasukan kekal dalam suasana latihan berintensiti tinggi dan beraksi perlawanan kompetitif sehingga musim betul-betul melabuhkan tirai pada Oktober nanti.

kevin (2)

“Jadual padat ini bukan disebabkan kita gabungkan Liga Super dan Piala Malaysia, kalau kedua-dua pertandingan diadakan dalam waktu berbeza sekalipun, jadualnya tetap sama padat, kerana masalah utama kita adalah kita perlu habiskan semua perlawanan pada Oktober.

“Liga kita perlawanan tidaklah banyak, tidak semua pasukan beraksi sehingga 30 perlawanan semusim. Ada yang hanya beraksi 23 perlawanan sahaja. Jadi dalam situasi begini ia memberi ruang kepada pasukan seperti Pulau Pinang (sebagai contoh mudah), mereka tidak layak ke Piala Malaysia jadi jika habiskan Liga Super dulu kemudian mulakan Piala Malaysia, Pulau Pinang akan berehat lagi lama berbanding pasukan lain.

“Lima atau enam bulan sebelum musim baru bermula mereka hanya akan berlatih dan berlatih, mengadakan perlawanan persahabatan. Ini tidak membantu meningkatkan kualiti mereka mahupun liga kita. Dalam masa sama kita mahu elakkan soal berlakunya tunggakan gaji, apabila pasukan sekadar berlatih selama lima bulan, majikan akan mula keberatan untuk membayar gaji kepada pemain,” ujar Kevin.

Kevin pada Rabu meluangkan masa lebih sejam untuk memberi penerangan secara terperinci mengenai jadual Liga Malaysia kepada pihak media. Menurutnya, pemahaman pihak media akan memainkan peranan penting dalam memberikan gambaran sebenar keadaan Liga Malaysia.

- Advertisement -