kj.oku

Oleh Muhammad Aiman

Episod persaraan secara berperingkat beberapa pemain tonggak skuad bolasepak kebangsaan yang dimulai oleh pemain pertahanan Aidil Zafuan Abdul Radzak dan ketua pasukan Safiq Rahim, turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Dengan jumlah pemain yang berundur dari skuad Harimau Malaysia sudahpun menokok kepada empat setelah dua lagi pemain lama – S.Kunanlan dan Amirulhadi Zainal turut mengikut jejak dua rakan sepasukan di Johor Darul Takzim itu pada Khamis, Khairy menyuarakan kebimbangannya mengenai situasi itu yang disifatkannya sebagai kritikal.

Meskipun mengakui mungkin terdapat isu-isu yang menjadi punca keputusan itu diambil, Khairy berharap agar pemain tempatan menganggap peluang menyarung jersi negara sebagai satu penghormatan besar dan tidak membuat keputusan terburu-buru dengan mengetepikan penghormatan tersebut.

Dalam masa sama, Khairy menegaskan betapa khidmat pemain-pemain yang membuat keputusan bersara ini masih lagi diperlukan tatkala Malaysia akan menghadapi Piala AFF Suzuki 2016 pada Disember dan Kelayakan Piala Asia 2019 pada tahun depan.

“Bagi saya mereka masih boleh menyumbang kepada pasukan kebangsaan. Mereka bukan pemain yang boleh dikatakan usia sudah lanjut, Safiq dan Aidil belum 30, masih usia puncak. Saya rasa tiada sebab untuk mereka berundur.

“Saya ada baca komen Safiq nak bagi peluang kepada pemain muda. Saya rasa pemain muda perlu diberi peluang tapi kita masih perlukan pemain-pemain yang ada pengalaman seperti Safiq dan Aidil. Saya sebagai menteri harap pasukan ke AFF adalah yang terbaik.

‘Dan untuk membentuk skuad terbaik, sudah semestinya perlukan khidmat pemain seperti Aidil, Safiq, Kunanlan dan sebagainya. Mungkin ada isu di sebalik keputusan mereka, mungkin ada kena mengena dengan komen TMJ berkenaan jadual latihan skuad kebangsaan dan sebagainya.”

Khairy bagaimanapun tidak mahu membuat spekulasi bahawa TMJ adalah ‘dalang’ yang bertanggungjawab menjadi punca pemain-pemain ini membuat keputusan itu, sebaliknya menjelaskan bahawa beliau akan menghubungi TMJ untuk mendapat gambaran lebih jelas.

“Melainkan pemain itu sendiri menafikan pengumuman tersebut, kita terpaksa anggap itu sebagai pengumuman sahih dari mereka sendiri yang dikeluarkan dalam laman media sosial pasukan diwakili mereka. Saya tidak boleh buat andaian di sebaliknya.

“Saya akan bercakap dengan TMJ, tugas saya adalah mencari penyelesaian sama ada dapat kita melihat kepada isu-isu yang telah dibangkitkan TMJ dapat diatasi. Antaranya tahap latihan yang telah mengakibatkan kecederaan. Kalau itu pandangan berdasarkan kepada pengalaman dihadapi pmain kebangsaan, maka kita perlu buat perubahan.”

Khairy ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) di Kompleks Sukan Paralimpik.

- Advertisement -