aff16_161123_ts_mysvvnt_match_028

Oleh Muhammad Aiman

Jaringan tunggal Nguyen Trong Huang memadai untuk Vietnam melakar kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2016 dengan menewaskan Malaysia 1-0 di Stadium Thuwanna, Yangon, sebentar tadi.

‘The Golden Star’ sekali lagi beroleh jaringan kemenangan 10 minit sebelum permainan tamat, menerusi penyudah cantik Trong Huang yang memanfaatkan kelalaian pertahanan sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Tempoh hari ketika bertemu Myanmar, Vietnam turut beroleh gol kemenangan 10 minit sebelum tamat perlawanan menerusi Le Cong Vinh.

Kemenangan membolehkan Vietnam mengungguli saingan Kumpulan B dengan enam mata dan semakin hampir untuk melangkah ke separuh akhir, manakala Malaysia yang mengumpul tiga mata wajib menewaskan tuan rumah Myanmar pada perlawanan terakhir kumpulan Sabtu ini untuk meneruskan kemaraan.

Setelah hampir diaibkan Kemboja pada Ahad lalu, pengendali skuad kebangsaan Dato’ Ong Kim Swee membuat sedikit rombakan dengan membawa masuk Ronny Harun dan Ahmad Fakri Saarani ke dalam kesebelasan utama.

Ronny membentuk gandingan di benteng terakhir bersama-sama Shahrom Kalam, Rizal Ghazali dan Matthew Davies manakala Shahrul Saad ditolak ke atas untuk bermain di posisi tengah, bergandingan bersama Fakri yang menggantikan Irfan Fazail.

Aksi antara kedua-dua pasukan yang mencari kemenangan kedua bagaimanapun bermula dengan tempo perlahan malah tidak banyak gerakan berbahaya terhasil sepanjang 45 minit pertama tatkala masing-masing bergelut mengerah prestasi terbaik dalam keadaan cuaca panas terik.

Hanya menuju lima minit terakhir di separuh masa pertama, Malaysia berhasil melakukan dua percubaan menerusi ketua pasukan Amri Yahyah yang sedikit melewati palang pada minit ke-41 dan kemudiannya rembatan Ahmad Hazwan Bakri, tepat ke dakapan penjaga gol dua minit kemudian.  

Bersambung babak kedua barulah kelihatan corak permainan lebih menarik dari kedua-dua pasukan, dengan Vietnam hampir sahaja di depan menerusi dua percubaan pantas Nguyen Van Quyet pada minit ke-46 dan Dinh Tien Thanh seminit kemudian yang menyentuh tiang di sebelah kanan Khairul Fahmi.

Vietnam terus mengasak, menyaksikan percubaan jauh Trong Huanh diselamatkan Khairul Fahmi, manakala peluang terbaik skuad negara menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti Syazwan Zainon yang terus ke dakapan penjaga gol, Tran Nguyen Manh pada minit ke-51.

Minit ke-66, giliran Hazwan pula menyaksikan percubaan volinya diselamatkan Nguyen Manh manakala Trong Huanh sekali lagi menyaksikan percubaannya melewati palang pada minit ke-73.

Selepas beberapa kali kecewa, Tronh Huang akhirnya meruntuhkan kekebalan pertahanan Malaysia pada minit ke-79 setelah memanfaatkan kegagalan barisan pertahanan untuk menutup ruang dan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Gol itu nyata menyentap sedikit semangat pemain Harimau Malaysia, menyaksikan mereka mula hilang fokus dan hampir sahaja melepaskan satu lagi gol pada minit ke -82 jika tidak kerana ketangkasan Khairul Fahmi.

Peluang terbaik buat Malaysia mencuri satu mata hadir pada masa kecederaan menerusi tandukan pemain gantian, Zaquan Adha Abdul Radzak namun Nguyen Manh cemerlang menafikannya.  

Vietnam hanya memerlukan keputusan seri menentang Kemboja pada perlawanan terakhir untuk muncul juara Kumpulan B manakala satu lagi slot akan menjadi rebutan antara Malaysia, Myanmar dan Kemboja.

- Advertisement -