#Goh Soon Huat alami kecederaan 

Selepas cemerlang dalam saingan Divisyen 2, Leong Jun Hao mempamer aksi mantap pada hari pertama kejohanan badminton Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kelibat pemain berusia 21 tahun ini mencuri tumpuan di Akademi Badminton Malaysia pada perlawanan sesi pagi apabila bangkit daripada kekalahan di set pertama sekaligus menang ke atas pemain yang lebih berpengalaman, Liew Darren 15-21, 21-14, 21-16 selepas bertarung lebih satu jam.

“Perlawanan pertama memang saya sudah jangka perlawanan sengit tetapi saya sudah bersedia untuk berdepan dengannya.

“Saya tidak fikir banyak, hanya cuba buat yang terbaik di setiap perlawanan. Sasaran saya adalah untuk berada di kedudukan empat terbaik dan sudah tentu kemenangan ini memberi suntikan semangat untuk meraih kemenangan pada perlawanan seterusnya,”

Seorang lagi pemain muda, Ng Tze Yong turut mencuri tumpuan pada hari pertama selepas mengejutkan Soong Joo Ven dengan kemenangan straight set 21-18, 21-12.

Pemain yang diletak selaku pilihan utama, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah untuk mengetepikan cabaran naib juara Divisyen 2, Lim Chong King dengan kemenagan straight set 21-14, 21-9

Sementara itu, saingan perseorangan wanita tidak memperlihatkan sebarang kejutan apabila Sonia Cheah menepati ramalan melakar kemenangan dalam aksi pembukaan selepas mudah mengatasi cabaran K Letshana 21-13, 21-11.

“Saya terkejut dengan permainan dan prestasi yang ditujukkan oleh Letshana. Tiada beza diantara kami dalam perseorangan wanita kerana kami berlatih bersama sama dibawah jurulatih yang sama,”kata Sonia.

Satu lagi aksi perseorangan wanita, Eoon Qi Xuan turut melakar kemenangan straight set 21-5, 21-9 ke atas Lee Ying Ying.

Dalam pada itu, malang buat pemain bergu campuran, Goh Soon Huat apabila mengalami kecederaan otot belakang ketika bergandingan dengan Shevon Lai Jamie menentang Hoo Pang Ron-Cheah Yee See.

Kecederaan berlaku di set kedua ketika Soon Huat-Shevon Lai ketinggalan 4-6 selepas menang 21-13 di set pertama. Soon Huat berhenti bermain selepas melakukan over head cross court smash dan mengadu mengalami kesakitan dibahagian otot belakang.

“Dia sudah mengalami kecederaan ketika sesi latihan pada Isnin dan menjalani proses pemulihan. Hari ini ia nampak serius kerana dia (Goh Soon Huat) tidak mampu untuk berjalan.

“Sudah tentu kecewa kerana terpaksa berhenti setakat ini kerana kami telah melakukan persiapan untuk kejohanan ini tetapi kita tidak boleh menjangkakan apa yang akan berlaku,”kata Shevon.

Shevon turut menambah pemeriksaan lanjut akan dilakukan oleh doktor dan jurulatih untuk mengetahui kecederaan yang dialami oleh Soon Huat. 

 

 

- Advertisement -