PEMANAH remaa Sarawak, Joey Tan Xing Lei memastikan Sarawak menjadi kuasa baru sukan memanah apabila menghadiahkan dua lagi emas buat pasukan itu pada hari terakhir acara memanah Sukan Malaysia ke-20 (Sukma XX) di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini.

Dalam lima acara final Olimpik Recurve hari ini, Joey menghasilkan panahan emas dalam acara Berpasukan Wanita, bersama-sama Supang Yahya dan Zakirah Mohamad Feroz ketika menewaskan trio Terengganu,  Nurul Izzah Mazlan,Nurul Syakirah Hashim dan Nurul Syazwa Mahari, 6-2.

Pingat gangsa dimenangi Sabah yang menewaskan Kelantan, 5-1.

Joey kemudian tampil dalam acara Campuran bersama Cecil Nathanael Busu Polycap ketika menewaskan pasangan Pulau Pinang, M Khiritigaa/Naveer Fikri Zinuldin pada pentas final, 6-4. Selangor meraih pingat gangsa.

Begitupun, faktor keletihan mungkin menyebabkan Joey gagal menambah sebutir emas lagi apabila dia tewas kepada pemanah Wilayah Persekutuan, Alia Qursyiah Mazlan pada perlawanan akhir recurve individu wanita.

Pahang juga meletakkan namanya dalam senarai emas di sepanjang Sukma XX ini apabila trio Berpasukan Lelaki yang dianggotai Muhammad Farhan Hakim Rhyme, Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affendi dan Muhammad Irsyad Danial Irwan menewaskan Kelantan dalam perlawanan akhir, 6-0.

Emas tunggal Sabah pula dimenangi Evan Rich dalam final Individu Lelaki apabila menewaskan wakil Pulau Pinang, Naveen Fikri, 6-0.

Dengan tamatnya acara memanah, Sarawak nyata unggul pada Sukma XX ini dengan keseluruhan empat emas, diikuti Terengganu (3), Johor (2) dan masing-masing satu emas dikutip Selangor, Sabah, Pahang, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

- Advertisement -