Johnathan Wong

Oleh Muhammad Aiman

Semuanya serba tidak menjadi buat penembak olimpik negara, Johnathan Wong yang mengharungi hari mengecewakan di Kejohanan Menembak Selangor, pada Sabtu.

Johnathan yang akan beraksi di temasya Sukan Olimpik Rio De Janeiro Ogos depan sekadar menamatkan saingan final 10m pistol udara di tempat keempat setelah membidik 155.40 mata di Lapang Sasar Subang, jauh tersasar daripada bidikan terbaik peribadinya yang juga rekod kebangsaan 201.5 mata.

Sebelum itu, penembak berusia 24 tahun kelahiran Melaka itu turut beraksi buruk di pusingan kelayakan apabila menduduki tempat keempat setelah mengumpul 571 mata, 14 mata di belakang rekod kebangsaan 585 mata miliknya sendiri.

Pemenang pingat perak Sukan Sea Singapura 2015 itu mengakui kecewa dengan prestasinya yang mengalami kemerosotan sejak memenangi pingat emas Kejohanan Kelayakan Olimpik Asia di New Delhi pada Februari lalu – kemenangan yang melayakkannya ke temasya sukan terbesar dunia itu.

“Saya tidak pernah langsung menghampiri bidikan terbaik peribadi saya sama ada dalam pertandingan tempatan mahupun antarabangsa sejak beberapa bulan lalu. Dan hari ini adalah prestasi terburuk saya dalam kejohanan tempatan, memang saya agak bimbang kerana ia akan menjejaskan keyakinan saya apabila beraksi di Rio nanti.

“Saya tidak menjangka bidikan saya akan menjunam teruk memandangkan saya mengambil cuti semester daripada meneruskan pengajian pada Februari untuk memberi tumpuan penuh terhadap latihan dan persediaan ke Rio. Kini saya perlu mendapatkan semula keyakinan saya, jika tidak, saya mungkin sekadar akan menjadi pelengkap saingan di olimpik,” katanya.

Untuk rekod, Johnathan adalah atlet keempat negara dari sukan menembak untuk membuat penampilan di Sukan Olimpik selepas Bernard Yeoh (trap – Athens 2004), Hasli Izwan Amir Hassan (pistol – Beijing 2008) dan Nur Suryani Taibi (rifle – London 2012).

- Advertisement -