Pelumba muda berbakat, Kasma Daniel Kasmayuddin akan beraksi atas tiket wildcard dalam kategori SuperSports 600cc pada Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia, 11 hingga 13 Ogos ini.

Sebelum ini, Kasma pernah beraksi selama dua musim dalam kategori Asia Production 250cc di ARRC sebelum melangkah ke saingan Moto3 Kejuaraan Remaja Dunia CEV Sepanyol pada tahun ini.

Masih segar dengan kemenangan keempat dalam saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jasin, Melaka tempoh hari, Kasma berkata dia membuat keputusan untuk menyertai perlumbaan SuperSports 600cc sebagai latihan dan persediaan untuk menghadapi sebarang perlumbaan pada musim 2017 ini.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran kerana perlumbaan minggu ini hanyalah sebagai medan latihan dan persediaan saya untuk menghadapi perlumbaan akan datang.

“Saya gembira kerana berpeluang untuk beraksi kembali di ARRC walaupun kategori berbeza berbanding tahun sebelum ini di dalam kategori 250cc. Saya berharap dapat menggunakan peluang minggu ini untuk menimba pengalaman dan pendedahan berguna,” jelas Kasma.

- Advertisement -