Oleh Muhammad Aiman

Meskipun tersisih setidak-tidaknya sehingga April gara-gara sedang dalam pemulihan kecederaan siku, semangat juang dan motivasi atlet karate nombor satu negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan tidak sedikitpun luntur.

Syakilla yang berada di kedudukan nombor dua dunia bagi kumite wanita kategori bawah 55kg telahpun menjalani pembedahan pada minggu lalu dan ia dijangka mengambil masa sehingga 12 minggu untuk pulih sepenuhnya.

Namun Syakilla yang juga merupakan pemenang emas Sukan Asia Incheon 2014 melaungkan keyakinan tinggi betapa dia masih berada di landasan untuk mempertahankan pingat emas Sukan Sea buat kali kedua berturut-turut di Kuala Lumpur, Ogos depan.

“Ianya sangat mengecewakan untuk tersisih di awal tahun, namun saya perlu lalui situasi ini. Sebenarnya kecederaan siku saya ini berlaku pada bulan Oktober tahun lalu ketika saya mengambil bahagian di Kejohanan Dunia di Austria, tetapi saya tidak tahu kecederaan ini terlalu serius dan perlukan pembedahan.

“Begitupun, saya rasa saya boleh kembali menjalani latihan penuh dalam tempoh lapan minggu. Masih ada banyak masa untuk mempersiapkan diri bagi Sukan Sea dan saya tekad kekalkan emas yang digenggam,” kata pemenang pingat emas di Sukan Sea Myanmar 2013 itu.

Untuk rekod, kecederaan yang dialami memaksa atlet berusia 24 tahun itu melupakan kejohanan pembukaan Karate 1 Siri Premier 2017 yang berlangsung di Paris bulan lalu dan dia dijangka akan kembali ke aksi kompetitif pada Mei nanti apabila berlangsungnya Sukan Perpaduan Islam di Baku, Azerbaijan.

- Advertisement -