IMG-20160414-WA011

Oleh Muhammad Aiman

Skuad kebangsaan beroleh kelebihan besar pada aksi play-off kelayakan Piala Asia 2019 apabila kedua-dua perlawanan timbal balik Malaysia menentang Timor Leste pada 2 dan 7 Mei depan akan berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bharu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Amin berkata Persatuan Bolasepak Timor Leste telah memohon untuk menjadikan Malaysia sebagai gelanggang tuan rumah aksi kedua yang sepatutnya berlangsung di Dili dan FAM akan menghantar surat kepada Konfederasi Bolasepak Asia bagi mendapatkan kelulusan pertukaran venue tersebut.

“Saya telah berbincang dengan Presiden Timor Leste, (Francisco Kalbuadi Lay) dan secara tidak rasminya telah menyatakan persetujuan untuk main di Larkin. Saya tidak pasti mungkin ianya disebabkan kekangan stadium dan fasiliti latihan. Kita akan muktamadkan dalam tempoh terdekat selepas mendapat kelulusan dari AFC.

“Ini sebenarnya bagus untuk kita, kalau tidak tamat game pada 2hb, mungkin 3 atau 4hb sudah kena berlepas ke Dili untuk aksi timbal balik yang mana ianya meletihkan pemain, jadi kita harapkan sokongan penyokong sendiri di sini akan membantu pemain beraksi dengan lebih bersemangat,” kata Hamidin pada sidang media bulanan pasukan kebangsaan di FAM tengah hari tadi.

Hamidin turut menjelaskan bahawa FAM merancang untuk membawa skuad kebangsaan sama ada skuad senior mahupun bawah 22 tahun untuk beraksi di stadium seluruh negara bagi menarik sokongan peminat dalam masa sama menjalin hubungan kerjasama yang baik bersama ahli gabungan.

“Sebelum ini skuad B-22 telah bermain menentang Nepal dan Filipina di Paroi. Skuad senior telah beraksi di Melaka menentang Macau, selepas ini kita ke Larkin dan seterusnya Sabah, Sarawak sebelum menuju pula ke utara. Memang dari awal tahun, kita nak bawa semua skuad kebangsaan bermain di negeri yang menjadi ahli gabungan dan kita telah menerima maklumbalas positif dari hampir semua ahli gabungan,” tambahnya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee tetap tidak mahu menarik nafas lega dan berpendapat masih banyak kelemahan perlu diperbaiki menjelang aksi getir tersebut jika Harimau Malaysia berhasrat untuk mencari tempat di pusingan ketiga kelayakan.

“Dari segi beraksi kedua-dua game di gelanggang sendiri memang satu kelebihan, tetapi kita tetap tidak boleh mengambil mudah. Kita perlu ingat Timor Leste juga sudah berjaya mengurangkan waktu perjalanan mereka apabila main di sini. Kita perlu persiapkan pasukan sebaiknya, mengambil kesempatan di atas kelebihan ini dan menang,” ujar Kim Swee.

Malaysia perlu menang ke atas Timor Leste untuk layak secara terus beraksi di saingan peringkat kumpulan pusingan kelayakan ketiga Piala Asia 2019 yang akan bermula pada 28 Mac 2017.

Tetapi sekiranya tewas, Malaysia tetap mempunyai peluang untuk layak ke pusingan kelayakan ketiga tetapi perlu mengharungi satu lagi perlawanan play-off dengan menentang pemenang antara Taiwan dan Kemboja.   

Untuk rekod, Malaysia terpaksa mengharungi pusingan play-off untuk beraksi di pusingan kelayakan ketiga selepas menamatkan kempen pusingan kedua Kumpulan A di tangga keempat dengan mengumpul empat mata dari lapan perlawanan.

- Advertisement -