Setelah bertahun-tahun lamanya menjamah roti arab, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) kini menukar selera dengan menjadikan Kimchi Korea sebagai santapan.

Begitulah perumpamaan paling sesuai untuk menggambarkan perkembangan terkini di kem pasukan itu apabila mereka menandatangani pemain dari Korea Selatan, Do Dong Hyun pada Khamis.

Dong Hyun yang menyarung jersi Uitm FC pada musim ini menjadi pemain kedua dibawa masuk selepas pasukan itu mendapatkan khidmat ‘Pogba Malaysia’, S.Veenod pada Rabu dan menariknya ini kali pertama pasukan itu diperkuatkan oleh pemain dari Korea Selatan.

Sedekad di bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa, Kelantan cukup dikenali sebagai tempat untuk pemain-pemain dari negara Arab dan Afrika ‘cari makan’ dengan nama-nama seperti Mohamadou Mustapha, Obinna Nwaneri, Emanuel Okine, Zakaria Charara, Mohamed Shawky, Hussein Ala Hussein malah tidak ketinggalan Mohamed Ghaddar antara yang pernah memperkuatkan pasukan itu sebelum ini.

Dong Hyun yang pernah beraksi bersama Brisbane Roar, FC Gifu serta East Bengal baru sahaja meraikan ulangtahun kelahirannya ke-24 pada minggu lalu dan dianggap sebagai pilihan tepat dibuat KAFA, mengambil kira peranan penting dimainkan pemain itu ketika semusim bersama Uitm.

Menjelaskan pemilihan pemain yang merupakan penjaring kedua terbanyak Uitm dengan 16 gol itu, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, “Kita mengikat pemain ini selama dua tahun, sebab utama Dong Hyun menjadi pilihan adalah kerana dia berjaya memikat panel kejurulatihan yang telah kita tugaskan untuk membuat pemantauan pemain.

“Selain tajam di depan gol, Dong Hyun seorang yang boleh bermain di pelbagai posisi iaitu tengah, sayap dan juga sebagai penyerang. Ini antara faktor yang memberikannya kelebihan untuk dibawa masuk menyertai Kelantan dan kita harap dia dapat guna pengalamannya untuk membantu pasukan memberi cabaran serius dalam saingan musim depan.”

Dong Hyun adalah pemain import kedua pasukan The Red Warriors bagi musim 2018, setelah mereka turut mengekalkan khidmat pemain tengah, Morgaro Gomis manakala seorang lagi pemain, Seydi L’Imam yang dibawa masuk ketika pertengahan musim 2017 tetapi gagal didaftarkan pula masih dalam proses perbincangan.

“Kalau diikutkan dia (L’Imam) masih mempunyai kontrak setahun dengan kita, kita berpuas hati dengan komitmennya ketika latihan dan prestasi ketika perlawanan persahabatan. Jadi kita masih lagi mengadakan rundingan termasuk dengan ejennya agar dia dapat mewakili kita musim depan,” tambah Bibi lagi.    OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -