Kem skuad Harimau Malaya yang berada di Singapura berdepan ‘ujian awal’ apabila dua pemain disahkan positif Covid 19.

Pengesahan tersebut diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini selepas kedua-dua pemain tersebut didapati positif dalam ujian saringan masuk ke Singapura di Lapangan Terbang Changi pada Jumaat.

Namun ada perkhabaran gembira buat Tan Cheng Hoe apabila kesemua ahli pasukan yang lain tidak dijangkiti sekaligus pihak penganjur membenarkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe meneruskan latihan dan cabaran di Piala AFF 2020.

Dua pemain berkenaan telah diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari mengikut protokol Kementerian Kesihatan Singapura, dengan ujian COVID-19 dilakukan pada setiap hari.

Perbincangan samada memanggil pemain gantian sedang dibincangkan kerana ketika ini Malaysia hanya mempunyai 21 pemain yang boleh beraksi ketika aksi pembukaan kumpulan B menentang Kemboja esok.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium Dion Cools yang sedang beraksi bersama FC Midtjylland di Denmark, dijangka hanya menyertai skuad kebangsaan sebelum aksi terakhir kumpulan bertemu Indonesia pada 19 Dis ini.

Skuad Harimau Malaya kemudian dijadualkan bertemu Laos pada 9 Dis sebelum berdepan cabaran Vietnam (12 Dis) dan Indonesia pada aksi terakhir.

 

Kenyataan oleh Mohd Saifuddin Abu Bakar
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa dua pemain skuad Harimau Malaya ke Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura telah disahkan positif COVID-19 selepas keputusan ujian PCR yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Jumaat lalu diperolehi.

Dua pemain berkenaan – Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim kini diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri sehingga ke 10 hari oleh pihak berkuasa di Singapura ini yang mana tahap kesihatan mereka akan dipantau secara harian memandangkan mereka tidak bergejala.

Jika ujian selanjutnya itu mendapati pemain tersebut telah bertukar status kepada negatif COVID-19, maka mereka akan dibenarkan untuk kembali menyertai aktiviti bersama pasukan dengan serta-merta dan juga dapat beraksi pada baki kejohanan ini.

Biarpun tanpa dua pemain ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe tetap akan meneruskan perlawanan pertama Kumpulan B berdepan Kemboja di Stadium Bishan, petang esok dengan baki pemain lain yang ada selepas kesemua mereka diuji negatif pada ujian susulan yang telah pun dilakukan.

- Advertisement -