Tuan rumah Sukan SEA 2023, Kemboja meneruskan persiapan meskipun majoriti aktiviti sukan di seluruha dunia dihentikan ketika ini susulan pandemik Covid 19.

Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC) mengadakan mesyuarat baru baru ini bagi membincangkan perancangan dan mendapatkan makluman semasa persiapan menjelang temasya dwitahunan terbesar di Asia Tenggara.

Mesyuarat dipengerusikan Menteri pelancongan, Thong Khon yang dilantik sebagai Naib Presiden CAMSOC dan berlangsung di Majlis Olimpik Kemboja (NOCC).

Antara perbincangan yang diketengahkan adalah perkembangan semasa pembinaan Kompleks Sukan Nasional Morodok Techo yang terletak di kawasan pembinaan yang dimiliki Ly Yong Phat di Phnom Penh menelan kos kira kira USD 200 juta.

Kompleks Sukan yang mempunyai kapasiti 60 000 tempat duduk dengan keluasan 85 ekar akan menjadi venue utama sepanjang temasya itu.

Kompleks itu kini sudah mencapai 80 peratus pembinaanya dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Sehubungan dengan itu, jawatankuasa juga mencadang inisiatif untuk membina jalan raya untuk menghubungkan lalu ke Kompleks Sukan dari bandar Phnom Penh dimana mereka menjangkakan kesesakan berganda akan berlaku di bandar tersebut kerana dipenuhi dengan penduduk tempatan serta dari luar negara samada terlibat secara langsung atau sebagai penonton ketika Sukan SEA nanti.

Setiausaha Agung NOCC, Vath Chamroeun berkata kesemua 14 jawatankuasa yang dibentuk dalam CAMSOC akan mengadakan pertemuan sekali dalam tempoh seminggu untuk membentangkan perkembangan semasa.

Chamroeun juga mahu kerja kerja persiapan dipercepatkan memandangkan situasi Covid 19 melibatkan Kemboja telah pun reda.

Kemboja tidak mencatatkan sebarang kes baru atau kematian sejak tiga minggu lalu dengan catatan kes yang direkodkan hanyalah 124 kes.

Kemboja akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke 32 selepas Vietnam yang akan menjadi tuan rumah bagi edisi ke 31 yang dijadual berlangsung pada Disember 2021.

Sukan SEA 2023 menjadi penganjuran temasya besar pertama di Kemboja. Mereka sepatutnya menjadi tuan rumah pada 1963 namun dibatalkan susulan masalah politik yang melanda Kemboja ketika itu.

 

- Advertisement -