Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) menerima suntikan kewangan yang sangat diperlukan tepat pada waktunya apabila mendapat tajaan dari konglomerat infrastruktur dan perkhidmatan berasaskan kejuruteraan terkemuka di Malaysia, UEM Group Berhad.

UEM Group bakal menghulurkan tajaan sebanyak RM4 juta  selama dua tahun iaitu 2018 dan 2019 kepada MRU dan ia juga adalah jumlah penajaan terbesar dalam sejarah ragbi tanah air.

Kerjasama yang terjalin antara kedua-dua pihak diumumkan secara rasmi pada Jumaat menerusi pelancaran jersi MRU yang memaparkan logo UEM Group, disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Brig Jeneral Khairy Jamaluddin.

Turut hadir Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group, Dato’ Izzaddin Idris; Presiden MRU, Dato’ Shahrul Zaman Yahya; serta barisan pemain dan tenaga kejurulatihan skuad ragbi kebangsaan.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pengumuman tersebut, Khairy berkata sokongan yang ditunjukkan oleh UEM Group adalah bukti bahawa syarikat-syarikat swasta kini mula mengiktiraf dan menghargai sukan-sukan yang menunjukkan pencapaian dan prestasi yang baik, bukan hanya memberi sokongan kepada sukan popular.

“Ragbi telah menunjukkan peningkatan prestasi yang cukup baik dalam beberapa tahun kebelakangan, dan ia sukan yang semakin popular. Bagi kategori 15 sebelah kita berada di tempat keempat Asia dan tujuh sebelah pula di tempat ketujuh.

“Ragbi mempunyai masa depan yang cerah, ini kali pertama kita akan bertanding di Divisyen Premier Asia, kalau menang menentang Korea Selatan dan Hong Kong, kita akan layak ke pusingan seterusnya dan akan cuba melayakkan diri ke Piala Dunia Ragbi di Jepun tahun depan,” kata Khairy.

Menurutnya lagi, “Dari segi peruntukan kerajaan melalui Majlis Sukan Negara, bagi program pembangunan ragbi kebangsaan kita sediakan RM2 juta, untuk teruskan pembangunan dan ini tidak termasuk peruntukan kepada skuad senior lelaki dan wanita yang mungkin mencecah RM1 juta. Jadi, komitmen kita adalah RM3 juta.

“Mungkin jumlah ini bertambah sekiranya ada keperluan, dan ini juga tidak termasuk komitmen diberi Institut Sukan Negara dari segi khidmat sokongan Sains Sukan, perubatan, latihan dan sebagainya yang dilaksanakan ISN.”

Dalam pada itu, Dato Izzaddin pula berkata, “Kerjasama ini menyaksikan penglibatan kami ke dalam dunia sukan. Harapan kami sumbangan ini akan membuka jalan untuk pasukan negara terus menerima sokongan terbaik bagi mengorak langkah memacu kejayaan di pentas dunia.”

Manakala Dato’ Shahrul pula menjelaskan jalinan kerjasama ini mampu mengukuhkan keupayaan dan membuka lebih banyak ruang pendedahan di luar negara buat pemain-pemain kebangsaan, seterusnya menjadi platform terbaik untuk mempromosi dan mengangkat imej sukan ragbi.

Beliau turut berterima kasih kepada Brig Jeneral Khairy kerana menjadikan kerjasama ini sebagai satu kenyataan.

Antara pencapaian terbaik skuad ragbi negara sejak beberapa tahun kebelakangan adalah menjuarai Kejohanan Ragbi Asia Divisyen Satu pada 2016 dan 2017 (skuad 15 sebelah); memenangi pingat emas buat pertama kali dalam sejarah Sukan SEA pada 2017 (skuad lelaki 7 sebelah) dan menang gangsa buat pertama kali di Sukan SEA 2017 (skuad wanita 7 sebelah).

Kejayaan-kejayaan yang dikecap ini melonjakkan kedudukan pasukan ragbi negara ke tangga ke-47 dunia.  – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -