Status selaku pendatang baru dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) tidak menjadi alasan untuk juara Liga Futsal Brunei, Kuantan Rangers FC memasang impian mengutip enam mata maksimum dalam aksi minggu pembukaan yang membuka tirai secara rasmi pada Sabtu.  

Kuantan Rangers, kelab dari Pahang akan turun menentang KL City FC dalam aksi pertama disusuli perlawanan menentang bekas juara, KL Felda United pada Ahad.

Ketua jurulatih, Mohammad Faizul Abdul Gaffar berkata adalah penting untuk pasukannya bermula dengan langkah kanan agar dapat mencipta momentum awal dan mengintai kedudukan yang baik dalam liga.  

“Selaku sebuah pasukan baru, kita hormat semua pasukan, kita masih mentah terutamanya dari segi pengalaman. Tetapi saya ingatkan pemain apabila di atas gelanggang ketepikan rasa hormat itu dan jangan biarkan sentiment itu makan diri.

“Kita berada di sini setelah satu penantian panjang, jadi sudah pasti kita perlu berikan satu justifikasi yang baik kepada penantian itu, berikan tentangan, kita datang untuk beri saingan dan bukannya menjadi sekadar sebagai pelengkap jadual,” kata Faizul yang merupakan bekas ketua pasukan skuad kebangsaan dan pemenang pingat perak Sukan SEA 2007.

Tambah Faizul, “Pasukan ini mempunyai himpunan pemain berbakat dan berkualiti, adunan pemain muda dan berpengalaman. Jadi saya percaya jika kita bermain pada potensi penuh, dan bermain mengikut arahan tidak mustahil kita boleh lakar kemenangan dalam dua aksi minggu pembukaan.”

Untuk rekod, Kuantan Rangers mara ke LFK 2018 setelah menewaskan Kedah 3-0 di separuh akhir pusingan kelayakan yang berlangsung pada bulan lalu. Pasukan ini yang ditubuhkan pada hujung 2016 turut diperkuatkan lima pemain kebangsaan iaitu Akmarulnizam Idris, Yazid Kamaruzuan, Syafiq Hamzah, Iskandar Harun dan Harith Naim Mohd Nasir. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -