Hamidin

Oleh Ku Mohd Lufti

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan, keputusan daripada kerajaan untuk tidak membenarkan skuad bolasepak kebangsaan ke Pyongyang bukan dianggap sebagai campur tangan.

Ia dibuat susulan faktor keselamatan, malah FAM telah pun memohon kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk mengadakan perlawanan diantara Malaysia dan Korea Utara di gelanggang berkecuali.

Mengikut jadual asal, Harimau Malaysia bertemu Korea Utara dalam kelayakan Piala Asia di tempat lawan pada 28 Mac.

Isu ketegangan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Korea Utara ekoran kes pembunuhan Kim Jong-nam yang merupakan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

“FAM mesti berpendirian bersama kerajaan dari segi keselamatan. Ini adalah isu pokok keselamatan dan bukan melibatkan (urusan) pentadbiran, pemilihan atau perkara lain dan ini isu berbeza. 

“Saya perlu jelaskan sekali lagi, FIFA hanya akan mengambil tindakan jika ada rungutan mengenai campuran tangan kerajaan tetapi ini bukan soal campur tangan,” kata Hamidin.

Dalam pada itu, keadaan tampak semakin serius apabila Korea Utara melarang rakyat Malaysia yang berada disana keluar atau meninggalkan negara itu.

Reaksi yang sama turut diberikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang mengharapkan AFC dapat memberi kata putus sewajarnya berkenaan lokasi bagi aksi sulung kedua dua pasukan.

“Pasukan Malaysia itu sendiri adalah rakyat Malaysia. Kerajaan adalah badan paling tinggi dari segi menjaga keselamatan rakyat Malaysia. 

“Hanya kerajaan yang boleh membuat penilaian itu, bukannya persatuan sukan. Kalau mereka boleh buat sekatan itu kepada kakitangan duta kita, kita tidak akan hantar pasukan kita ke sana,” kata Khairy. 

- Advertisement -