Ketua jurulatih Buriram United FC, Mark Jackson memuji semangat juang pasukannya selepas menewaskan Selangor FC 2-1 dalam aksi sengit final kedua Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup™ 2025/26 di Stadium Buriram pada Rabu untuk menjulang kejuaraan dengan kemenangan agregat 3-1.

Juara bertahan itu dipaksa bekerja keras oleh wakil Liga Super Malaysia tersebut dan kemenangan itu memastikan Buriram United terus berada di landasan memburu tiga trofi selepas mereka sebelum ini menjuarai Thai League 1 dan bakal beraksi dalam final Thai FA Cup menentang Prachuap FC pada Ahad.

“Pasukan saya sudah melakukan perkara ini berkali-kali tahun ini, mereka menunjukkan ketabahan dan terus berjuang walaupun ada ketika kami tidak berada pada tahap terbaik,” kata Jackson mengenai Buriram United yang bangkit daripada ketinggalan dalam aksi kedua untuk menjulang trofi buat tahun kedua berturut-turut.

“Mereka menunjukkan semangat juang dan kadar kerja yang tinggi dan apabila kami memerlukannya, kami juga berjaya menjaringkan gol berkualiti. Secara keseluruhan saya amat bangga dengan pasukan dan kumpulan ini dan untuk mendapatkan dua trofi (liga dan Shopee Cup™) setakat ini adalah sesuatu yang hebat.

“Seperti biasa, saya akan terus fokus kepada perlawanan seterusnya.”

Buriram United terpaksa berhempas-pulas untuk mempertahankan trofi apabila Selangor bermula garang dan mendahului menerusi jaringan Syahir Bashah pada minit ke-18 selepas kesilapan penjaga gol tuan rumah, Neil Etheridge.

Suphanat Mueanta kemudian menyambut hantaran lambung Theerathon Bunmathan pada minit ke-28 untuk menyamakan kedudukan walaupun Buriram United ketika itu sedang bergelut, dan gol tersebut mendorong Jackson melakukan perubahan taktikal segera.

Pertahanan Pansa Hemviboon sebelum itu menjadi sebahagian daripada benteng tiga pemain pertahanan namun digantikan dengan penyerang Supachai Chaided apabila Buriram United kembali menggunakan formasi empat pertahanan dan perubahan itu akhirnya memberikan kawalan permainan yang diperlukan untuk menjuarai final tersebut.

“Kadang-kadang sebagai jurulatih, anda perlu mengakui bahawa anda melakukan kesilapan, dan saya memang silap dengan formasi kami malam ini,” kata Jackson.

“Apa yang saya perlu lakukan ialah membetulkan kesilapan itu dan itulah yang saya lakukan.

“Agak kasihan buat Pansa kerana dia terpaksa dikeluarkan tetapi ia semata-mata keputusan taktikal. Saya perlu membuat perubahan itu untuk mendapatkan semula kawalan permainan dan pasukan berjaya melakukannya.

“Kami hanya mahu memberi lebih tekanan kepada bola. Saya rasa kami mempunyai terlalu ramai pemain di barisan pertahanan dan kami tidak memerlukan jumlah seramai itu, jadi apabila menggunakan empat pertahanan ia membolehkan kami memberi lebih tekanan kepada bola dan lebih ancaman ketika menyerang, jadi ia berhasil.”

Theerathon melengkapkan kebangkitan Buriram United dengan jaringan kemenangan menakjubkan 10 minit selepas separuh masa kedua bermula apabila pemain tengah veteran itu melakukan voli lencong kaki kiri dari jarak 25 ela yang melepasi Sikh Izhan selepas terkena bawah palang untuk menentukan kejuaraan.

Etheridge kemudian menebus kesilapannya pada penghujung permainan dengan satu aksi menyelamat luar biasa terhadap tandukan Chrigor Moraes apabila dia menepis bola ke palang bagi memadam harapan Selangor untuk bangkit di saat akhir.

“Dia seorang penjaga gol yang luar biasa dalam menyelamatkan percubaan,” kata Jackson mengenai pemain antarabangsa Filipina itu.

“Kesilapan memang boleh berlaku dalam permainan tetapi sudah banyak kali tahun ini dia menyelamatkan kami dan membantu pasukan keluar daripada situasi sukar.

“Kami menerima kesilapan itu seadanya. Dia seorang pemain berpengalaman yang tidak mudah jatuh semangat, karakternya kekal kuat dan dia melakukan beberapa aksi menyelamat yang luar biasa hari ini.” – aseanutdfc.com

- Advertisement -