kabbadi

Oleh Muhammad Aiman

Ketiadaan pilihan utama yang juga penyandang juara, Thailand membuka peluang buat finalis musim lalu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mengintai kejuaraan edisi kedua Kejohanan Kabaddi Piala Merdeka yang berlangsung di Sport Arena Majlis Olimpik Malaysia pada 13 dan 14 Ogos.

Setiausaha Kehormat Persatuan Kabaddi Malaysia (PKM), E.Padmanathan berkata, “Sejak 2014 hingga terkini 2016, pasukan kabaddi lelaki Wilayah telah memenangi 15 kejuaraan domestic. Tahun lalu mereka kalah dengan Thailand di final, jadi untuk tahun ini peluang dilihat cukup cerah untuk Wilayah menebus kecewa.

“Selain pasukan Wilayah, pasukan seperti Kedah, Selangor dan Perak dijangka bleh memberi saingan sengit. Manakala bagi kategori wanita, saya lihat Thailand mempunyai peluang selain Sarawak dan Selangor. Kali ini Thailand datang dengan pasukan junior dan dengan persiapan yang rapi.”

Menurut Padmanathan lagi, kejohanan yang dianjurkan kali ini adalah terbesar dalam sejarah kabaddi Malaysia dengan pembabitan 11 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita (termasuk Thailand), berbanding tahun lalu di mana hanya tujuh pasukan lelaki dan lima pasukan wanita yang mengambil bahagian.

“Keseluruhannya ia melibatkan 180 orang pemain dan hampir 250 orang termasuk jurulatih, pegawai dan sebagainya. Objektif kita, kita mahu belia tahu dan hargai kemerdekaan, dan bersatu padu dalam satu persekitaran perkauman yang baik.

“Kita mahu memupuk semangat kemerdekaan dan perkauman melalui sukan dalam kalangan belia yang mengambil bahagian, kerana Kabaddi bukan lagi seperti dulu hanya dimainkan orang India, ia kini turut dimainkan semua kaum sama ada Melayu, Cina, Kadazan, Iban dan sebagainya.

“Sebagai contoh, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis semuanya membariskan satu pasukan yang kesemuanya adalah melayu. Jadi kita berharap dengan Hari Kebangsaan akan tiba tidak lama lagi, kita dapat membantu belia-belia ini untuk bukan sahaja untuk berada dalam suasana pertandingan tetapi juga menerap perpaduan antara kaum.”

Kejohanan selama dua hari itu, telah dirasmikan oleh Pemangku Presiden PKM pada Sabtu manakala perlawanan akhir dan majlis penutup akan berlangsung pada petang Ahad. 

- Advertisement -