mas-sepaktakraw

Oleh Ku Mohd Lufti

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap hukuman yang bakal dikenakan oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) terhadap Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak akan menjejaskan program persediaan atlet sukan berkenaan.

ISTAF mahu mengambil tindakan susulan tindakan pemain sepak takraw negara yang meninggalkan saingan dalam acara regu peringkat akhir berpasukan Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thailand ke-31 di Bangkok pada 23 Okt lepas.

“Saya difahamkan, ISTAF sedang melihat isu ini dan saya serah kepada ISTAF untuk mengambil sebarang tindakan.

“Saya berharap keputusan ISTAF tidak akan menjejaskan program persediaan atlet dalam Program Podium atau Kita Juara. Bagaimanapun, kita kena tunggu dahulu apa tindakan ISTAF,” kata Khairy Jamaluddin.

Sembilan pemain negara serta pegawai pasukan yang disenaraikan dalam perlawanan akhir itu, bertindak memulaukan pertandingan selepas regu pertama negara tewas kepada regu Thailand kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Setiausaha Agung ISTAF, Abdul Halim Kader baru baru ini memaklumkan pemain pemain dan pegawai yang terlibat akan dipanggil Lembaga Siasatan persekutuan itu, sebelum dikenakan sebarang tindakan.

- Advertisement -