Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) merancang untuk mewujudkan sistem pangkalan data bagi memantau perkembangan pemain yang terlibat dalam penambahbaikan Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) yang bakal dilancarkan bulan depan.

Timbalan Presiden KHM Prof Datuk Dr S. Shamala berkata menerusi sistem pemetaan pergerakan pemain, badan induk itu akan memantau perkembangan kerjaya seseorang pemain apabila mula menyertai program itu seawal usia 12 tahun sehingga umur pemain berkenaan meningkat.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan KHM menegaskan, program NHDP kali ini akan dilaksanakan di seluruh negara, dengan melibatkan kerjasama daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pendidikan, Persatuan Hoki Negeri serta KHM.

“Program NHDP ini sebenarnya sudah bermula sejak 2018 menerusi bantuan MSN, namun kita yang melaksanakan sepenuhnya program ini.

“Program NHDP yang bakal dilancarkan pada bulan hadapan adalah selaras dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara serta Program Pembangunan Ragbi Negara dan kami merupakan sukan yang ketiga,” kata Shamala

Beliau turut menambah,antara pembaharuan yang diperkenalkan dalam program NHDP adalah pengenalan pusat hoki di peringkat negeri dan daerah (14-16 tahun) dan akar umbi (bawah 12 tahun) berdasarkan keluasan negeri berkenaan.

Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Kota Tinggi, Johor, dan Sekolah Sukan Bukit Jalil akan menjadi pusat hoki kebangsaan kepada semua negeri yang terlibat dengan program NHDP.

“Setiap negeri bakal mempunyai penyelaras teknikal, ketua jurulatih di setiap pusat hoki serta jurulatih sambilan yang bakal dilantik dalam tempoh terdekat.

“Penyelaras teknikal ini melaporkan terus kepada sekretariat KHM supaya program yang diadakan di semua negeri diselaraskan dengan betul, termasuk program latihan, jenis latihan, jenis pertandingan dan sebagainya,” jelas Shamala.

Tiga negeri iaitu Perlis, Pulau Pinang dan Melaka bakal mempunyai masing-masing satu pusat hoki negeri, daerah dan akar umbi dan empat pusat hoki daerah bakal diwujudkan, masing-masing di Sabah dan Sarawak.

Jurulatih skuad hoki pembangunan negara, S. Velappan dan bekas kapten skuad hoki wanita kebangsaan, Siti Noor Amarina Ruhani, masing-masing dilantik sebagai ketua penyelaras teknikal lelaki dan wanita bagi program NHDP.

KHM sebelum ini memperkenalkan Program Pembangunan Hoki 1Mas pada 2010, namun ia terpaksa ditamatkan pada 2018 susulan kekangan dana, sebelum program NHDP diperkenalkan pada tahun yang sama.

 

- Advertisement -