Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Sri Subahan Kamal, menzahirkan rasa puas hati kepimpinan tertinggi KHM atas pencapaian yang diraih oleh Skuad Piala Dunia Remaja Lelaki Kebangsaan yang menamatkan Kejohanan FIH Odisha Piala Dunia Remaja Lelaki Bhubaneswar 2021 di kedudukan kelapan daripada 16 pasukan bertanding.

Jelas Dato’ Sri Subahan Kamal, dengan kekangan yang terpaksa dihadapi ekoran Pandemik Covid-19, skuad remaja negara tidak mendapat latihan dan pendedahan secukupnya menuju ke kejohanan Piala Dunia Remaja. Pencapaian yang diraih dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh para pemain harus diberikan pujian.

“Sebagai Presiden KHM, saya melihat barisan remaja negara tidak mendapat sebarang latihan sepanjang dua tahun. Mereka hanya mendapat perlawanan pendedahan ketika di Siri Jelajah United Kingdom atas keputusan bersama yang diambil oleh KHM dan Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum pemain ke Kejohanan Piala Dunia.

“Alhamdulillah pemain berjaya mengatasi keadaan tersebut dan bemain dengan baik di India. Saya juga secara jujur terkejut dengan prestasi mereka yang berjaya untuk melangkah ke suku akhir dan menamatkan kejohanan di kedudukan kelapan. Saya melihat ia sebagai satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

“Melihat kepada pencapaian pemain-pemain remaja ini, KHM mempunyai perancangan untuk menyerap pemain-pemain yang telah melepasi had usia 21 tahun ke Skuad Senior Lelaki Kebangsaan dan ini yang kami mahukan iaitu kesinambungan pemain daripada Skuad Remaja ke Skuad Senior.

“Untuk tujuh pemain yang masih boleh beraksi di Kejohanan Piala Dunia yang akan datang, mereka bersama pemain-pemain baru yang akan dibawa masuk ke Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan, akan diberikan pendedahan secukupnya termasuk menghantar mereka beraksi di perlawanan antarabangsa, juga mengikuti siri jelajah sebagai persediaan menuju ke Kejohanan Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Malaysia.

KHM Rancang Bawa Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan Pulang Lebih Awal

KHM dalam pada itu menghormati keputusan yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Hoki Asia (AHF) yang tidak membenarkan Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan beraksi di Kejohanan Donghae Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2021 selepas pemain negara diuji Positif Covid-19.

Ekoran daripada pengumuman AHF itu, KHM kini sedang bekerjasama dengan pihak AHF untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak bertanggunjawab di Korea bagi membawa pulang pemain yang telah diuji Negatif Covid-19 lebih awal daripada perancangan asal iaitu 13 Disember ini.

Jelas Dato’ Sri Subahan Kamal: “Oleh kerana Skuad Wanita negara tidak dapat mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan dan sekiranya pihak yang bertanggungjawab di Korea memberikan kebenaran untuk pemain-pemain yang diuji Negatif Covid-19 pulang, kami akan membawa mereka pulang lebih awal daripada perancangan asal.

“Namun sekiranya mereka tidak membenarkan dan Skuad Wanita perlu menghabiskan tempoh kuarantin sehingga 11 Disember ini, maka 13 Disember pastinya Skuad Wanita akan pulang.

“Bagi pemain yang diuji Positif dan terpaksa tinggal lebih lama di Korea, pihak KHM juga kini sedang bekerjasama dengan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) bagi mendapatkan pertolongan Kedutaan Malaysia di Korea untuk memastikan kebajikan pemain tersebut terjaga. KHM juga akan memastikan ada pegawai yang akan terus tinggal di Korea bagi memastikan pemain dalam keadaan baik dan pulang ke Malaysia bersama mereka.

Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Lelaki) 2021 Penting Buat Negara Kutip Mata Ranking

Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Lelaki) 2021 di Dhaka Bangladesh akan menjadi kejohanan antarabangsa pertama buat Pengendali Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A. Arulselvaraj selepas menggalas tugas selaku jurulatih kebangsaan.

Kejohanan yang turut menawarkan mata ranking itu akan digunakan dengan sebaiknya oleh barisan pemainnya untuk mencari kemenangan bagi memastikan kedudukan Malaysia di ranking ke-10 dunia tidak akan jatuh malah beliau bersama pasukannya akan berusaha untuk memperbaiki kedudukan tersebut.

“Keinginan mana-mana pasukan atau jurulatih adalah untuk mencapai kemenangan dan saya telah menerapkan mentaliti untuk menang di kalangan pemain. Kami akan berusaha untuk mencari kemenangan pada setiap perlawanan yang kami lalui.

“Kejohanan ini juga menawarkan mata ranking dan Malaysia di ranking ke-10 dunia dibelakang Sepanyol dikedudukan kesembilan dengan perbezaan 105 mata dan dikedudukan kelapan ialah New Zealand dengan perbezaan 171 mata.

“Kami berharap dengan mencapai kejayaan di Dhaka, kami dapat mengumpul mata yang secukupnya untuk mengejar kedudukan pasukan-pasukan ini,” ujar Arul.

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan akan berlepas ke Dhaka pada Ahad (12 Disember) bagi membawa cabaran Malaysia di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Lelaki) 2021.

 

- Advertisement -