mas.hockey

Oleh Ku Mohd Lufti

Skuad hoki negara diletakkan sasaran untuk melangkah sehingga peringkat separuh akhir di Kejohanan Hoki Trofi Juara Juara Asia 2016 yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 30 Oktober di Kuantan, Pahang.

Presiden Konfederasi hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal melihat sasaran ini sebagai relevan kerana sasaran utama yang diletakkan kepada skuad kebangsaan adalah layak ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India dan Olimpik 2020 nanti.

“Kejohanan ini juga menawarkan mata ranking dalam Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan kami akan cuba mengumpul seberapa banyak mata untuk berada di kedudukan ke 10 dunia seperti yang saya sasarkan sebagai Presiden KHM.

“Kami berharap untuk sekurang kurangnya layak ke separuh akhir.” Kata Datuk Seri Subahan Kamal.

Sasaran asal yang diletakkan oleh Pengarah Teknikal KHM, Terry Walsh adalah untuk berada di ranking ke lapan dunia tetapi KHM seakan tidak yakin dan meletakkan sasaran terbaru 10 terbaik dunia kepada skuad kebangsaan.

Terdahulu berlangsung Majlis tajaan daripada QNET, sebuah syarikat jualan langsung global yang akan menjadi sebagai penaja utama kejohanan Trofi Juara Juara Asia.

QNET yang diwakili pengarah komunikasinya, Kuna Senathirajah menyampaikan tajaan berjumlah RM500,000 bagi kejohanan yang akan dikenali sebagai ‘QNET Trofi Juara-juara Asia ke-4 2016’.

Trofi Juara-juara Asia kali ini menampilkan enam pasukan iaitu Pakistan, India, China, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia, selaku tuan rumah buat kali pertama.

Kejohanan hoki berprestij di rantau Asia itu berlangsung buat kali pertama di Ordos, China pada 2011, diikuti Doha, Qatar (2012) dan Kakamigahara, Jepun (2013).

Kejohanan itu tidak diadakan pada 2014 kerana berlangsungnya temasya Sukan Asia dan Piala Dunia Hoki di The Hague, Belanda.

- Advertisement -