maspng-1

Oleh Muhammad Aiman

Perlawanan persahabatan menentang pasukan ranking ke-159 dunia, Papua New Guinea pada Isnin bakal memberi gambaran awal mengenai kekuatan pasukan kebangsaan bagi menghadapi saingan Piala AFF Suzuki di Yangon minggu depan.

Justeru ketua jurulatih, Dato’ Ong Kim Swee menuntut barisan pemainnya tampil dengan aksi lebih tersusun dan meyakinkan di segenap aspek selain menggunakan peluang terakhir ini untuk memperbaiki kelemahan yang masih terserlah sebelum berdepan cabaran Kemboja 20 November depan.

“Sudah tentunya kita inginkan kemenangan kerana ini aksi terakhir sebelum ke Yangon, kemenangan akan memberikan satu suntikan semangat bagi menghadapi Kemboja pada perlawanan pertama. Apapun, saya tidak mahu pemain terlalu memikirkan mengenai Papua sebaliknya bermain ikut corak permainan kita.

“Lebih penting saya mahu lihat mereka tunjukkan permainan lebih teratur, terurus. Banyak yang perlu digilap dari barisan serangan sehinggalah ke pertahanan. Selain sentuhan penyudah, organisasi di pertahanan juga perlu lebih kemas, berdisiplin.

“Bukan mudah untuk perbaiki segalanya dalam tempoh 90 minit permainan, pemain perlu bermain mengikut kesesuaian cuaca, mengikut gameplan ditetapkan, tapi saya harap mereka gunakan peluang ini untuk tunjukkan karakter yang saya mahukan dari mereka, dan diharap cuaca juga dalam keadaan baik,” kata Kim Swee pada sidang media pra-perlawanan menentang PNG petang tadi.

Bagi pemain pertahanan, Shahrom Kalam, dia percaya kesemua pemain dalam keadaan bersedia untuk memberikan aksi terbaik menentang PNG yang mengaibkan Malaysia dengan kemenangan 2-0 dalam aksi persahabatan Jelajah Oceania pada Jun lalu.

“Saya mengalami kecederaan pada perlawanan menentang PNG Jun lalu dan tersisih tiga bulan. Sejak itu banyak yang telah berlaku. Beberapa pemain bersara dan jurulatih juga telah memanggil ramai pemain baru. Saya sendiri baru kembali ke kem kebangsaan.

“Kini, kami semakin menunjukkan peningkatan dan serasi, siapapun menjadi pilihan saya percaya semuanya bersedia mengalas tanggungjawab,” kata kapten Selangor itu.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee mempertahankan tindakannya untuk tidak memanggil pemain lain bagi menggantikan kehilangan Nasir Basharuddin dan Ahmad Khuzaimi Piee yang mengalami kecederaan meskipun mempunyai beberapa pemain dalam senarai menunggu.

“Selain kesuntukan masa, perlu diingat bahawa ketika ini adalah off-season yang mana semua pasukan dan pemain bercuti. Saya tidak tahu jika ada pasukan sudah memulakan latihan jadi saya tidak rasa saya boleh dapat seorang pemain yang berada dalam keadaan cergas sepenuhnya untuk tugasan antarabangsa. Ini bukan panggil pemain untuk lengkapkan skuad semata-mata ataupun isi tempat kosong,” katanya.   

Untuk rekod, Nasir sebelum ini tersisih kerana kecederaan pangkal peha manakala Khuzaimi pula mengalami kecederaan harmstring ketika aksi persahabatan menentang skuad B-22 kebangsaan pada Jumaat lalu – sejauh mana tahap kecederaan Khuzaimi bagaimanapun hanya akan diketahui esok selepas imbasan dilakukan.

- Advertisement -