Perak dan Sabah akan bertembung dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia di mana aksi pertama dijadual berlangsung Ahad ini di Ipoh manakala aksi timbal balik di Kota Kinabalu pada 21 Oktober.

Di atas kertas, kelebihan mungkin sedikit memihak kepada Perak kerana status mereka sebagai naib juara Liga Super sekali skuad yang dibarisi pemain-pemain berprofil tinggi dan juga ramai pemain kebangsaan.

Mereka juga merupakan pasukan tempatan kedua paling berjaya dalam pertandingan ini selepas Selangor dengan kejayaan muncul juara sebanyak tujuh kali dan naib juara 11 kali.

Tetapi Sabah tidak wajar dipandang sebelah mata. Mereka diketahui mempunyai skuad adunan pemain muda dan berpengalaman dengan semangat melawan cukup tinggi.

Kecuali Pahang – satu-satunya pasukan yang menewaskan Sabah – tiga pasukan Liga Super 2018 yang lain iaitu Selangor, PKNP FC dan Kelantan telah tumbang di tangan skuad Jelius Ating ini.

Adakah Perak bimbingan Mehmet Durakovic dapat mengelak daripada menjadi mangsa mereka yang seterusnya, atau sang badak akan meneruskan langkahan ‘giant killer’ mereka?

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah dalam aksi Liga Super 2012 tetapi jodoh mereka dalam saingan Piala Malaysia sebenarnya adalah cukup kuat di mana mereka pernah tiga kali bertembung di separuh akhir edisi 2002, 2003 dan 2007.

Kami membawa anda mengimbau semula tiga pertembungan antara kedua-dua pasukan dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia.

Perak 3-2 Sabah (agregat) – Separuh Akhir Piala Malaysia 2007

Format saingan pada 2007 sedikit berbeza di mana ianya membabitkan 18 pasukan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Kedua-dua pasukan telahpun bertemu dua kali dalam aksi Kumpulan C yang mana Sabah menang 1-0 di gelanggang sendiri dan seri 1-1 di Ipoh sebelum sekali lagi dipertemukan di peringkat separuh akhir.

Perlawanan separuh akhir pertama di Sabah berkesudahan seri 1-1 setelah jaringan Charles Obi pada minit ke-44 memadam jaringan pendahuluan Khalid Jamlus pada minit ke-21.

Perak bimbingan Steve Darby mara ke final setelah menang 2-1 pada aksi kedua menerusi dua jaringan Khalid Jamlus pada minit ke-11 dan 39 manakala Sabah membalas menerusi Jul Amri Ahmad pada minit ke-32.

Sabah 4-2 Perak (agregat) – Separuh Akhir Piala Malaysia 2003

Perlawanan pertama di Likas menyaksikan keputusan seri 1-1. Ianya Perak yang terlebih dahulu berada di depan menerusi sentuhan penyudah Bhutia Bhaichung pada minit akhir separuh masa pertama namun Sabah mengikat kedudukan menerusi Zaykiel Leong pada minit ke-72.

Aksi lebih dramatik disaksikan di Ipoh yang mana Sabah menang 3-1 dengan tiga jaringan terhasil di masa kecederaan.

Robert Gaspar meletakkan Sabah bimbingan Peter Butler 1-0 di depan 10 minit sebelum tamat permainan sebelum Ronny Harun menjadikan kedudukan 2-0 pada minit pertama masa kecederaan.

Ianya tidak berakhir di situ apabila K.Nanthakumar merapatkan kedudukan buat Perak kurang seminit selepas itu tetapi jaringan Keith Gumbs pada minit keempat masa kecederaan memastikan kemenangan buat Sabah sekaligus mara ke final buat musim kedua berturut-turut.

Sabah 4-3 Perak (agregat) – Separuh Akhir Piala Malaysia 2002

Sabah mendahului 2-0 di Likas menerusi jaringan oleh K.Sanbagamaran (m-19) dan Josiah Seton (m-39) tetapi Perak bangkit mengikat kedudukan 2-2 menerusi penalti Josko Farac (m-42) dan Ahmad Shahrul Azhar Sofian (m-74).

Aksi timbal balik di Ipoh menyaksikan Sabah menang 2-1 menerusi dua jaringan Zainizam Marjan pada minit ke-9 dan 29. Gol tunggal Perak dijaringkan Khalid Jamlus pada minit ke-83.

Kemenangan ini menyaksikan Sabah mara ke final buat kali pertama selepas enam tahun sekaligus menafikan hajat Perak untuk mara ke final buat musim ketiga berturut-turut.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -