Perlumbaan Maraton Kuala Lumpur Standard Chartered 2016 mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih daripada 35,000 peserta telah mendaftar untuk acara yang diadakan pada 7 Ogos ini.
Pengarah Dirigo Events Sdn Bhd, Rainer Biemans berkata keutamaan untuk perlumbaan edisi kelapan itu diberikan kepada peserta yang mendaftar tahun lepas tetapi tidak dapat mengambil bahagian berikutan pembatalan acara tersebut akibat jerebu.
“Peserta yang mendaftar tahun lepas dan mahu beraksi tahun ini akan diberikan potongan 25 peratus ke atas yuran pendaftaran.
“Kami memutuskan untuk mengehadkan penyertaan kepada 35,000 orang kerana Dataran Merdeka hanya mampu menampung peserta sebanyak itu,” katanya di sini hari ini.
Biemans berkata daripada 35,000 peserta itu, 7,165 pelari akan beraksi dalam acara maraton (42.195km), 9,556 pula untuk separuh maraton (21km) manakala bakinya akan bertanding dalam tujuh kategori lain dalam perlumbaan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan US$125,000 (RM445,387).
Kategori yang yang dipertandingkan adalah 10km, 5km fun run, 10km cabaran korporat, 10km cabaran kementerian, 10km cabaran universiti dan 3km dan 1km kanak-kanak.