Sambutan Hari Raya Aidil Fitri tahun ini disambut dengan penuh kesederhanaan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) oleh kerajaan.

Sepatutnya perayaan ini akan disambut dengan penuh kegembiraan oleh seluruh umat Islam, namun pandemik Covid-19 yang masih menghantui negara membataskan segala kemeriahannya.

Begitu juga dengan pemain bola sepak khususnya bagi mereka yang berkelana jauh daripada kampung halaman.

Jika bagi pemain tempatan, ia mungkin tidak menimbulkan banyak perasaan ralat namun bagaimana pula dengan sambutan pemain import yang beragama Islam?

Selain daripada mereka dari Singapura dan Indonesia, tonggak import Terengganu, Makan Konate juga antara pemain Islam yang akan menyambut lebaran di bumi Malaysia, jauh daripada keluarga tercinta.

Pemain kelahiran Mali itu tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih menyambut lebaran jauh di perantauan tanpa kehadiran keluarga.

Menceritakan sambutan tahun ini, Konate berkata tidak banyak persiapan yang boleh dilakukannya dan akan menyambut secara bersendirian.

“Saya sering menyambut lebaran bersama keluarga tetapi tahun ini Covid-19 mengubah segalanya dan saya akan sambut secara bersendirian kerana mereka berada jauh di Mali. Tahun lepas saya sambut bersama isteri tetapi tahun ini belum ada rezeki.

“Saya sedih kerana sudah berapa bulan saya tinggal bersendirian kerana isteri belum dapat datang dan kini sedang menunggu urusan surat-menyurat selesai untuk membawa mereka ke sini.

“Tidak banyak persiapan yang boleh saya lakukan. Sebelah pagi saya akan sembahyang sunat Aidil Fitri dan selebihnya akan terus kekal di rumah,” katanya kepada Shoot!

Bercerita pengalamannya menyambut lebaran di Indonesia, Konate berkata tidak banyak beza dengan apa yang pernah dilaluinya ketika di Malaysia.

“Saya pernah sambut raya di Indonesia dan juga Malaysia. Kedua-duanya sama.

“Memang saya suka menyambut lebaran di kampung (Mali) tetapi akibat Covid-19, saya tidak boleh pulang. Jadi saya hanya tinggal di sini sambil menunggu isteri datang dan saya rasa itu adalah lebih baik,” katanya.

- Advertisement -