Finalis pusingan play offs ke Liga M3 2020, KSR Sains melaungkan hasrat untuk bermain di Liga M3 musim depan selepas berjaya menyambar salah satu slot ditawarkan apabila mara ke perlawanan akhir yang berlangsung pada 28 Disember ini di Stadium UITM Shah Alam.

Ketua jurulatih KSR Sains, Syed Mazlan Syed Zubir, berdasarkan perbincangan awal dengan pengurusan, pasukan itu akan melakukan persiapan lebih baik bagi menghadapi tahap persaingan Liga M3 yang pasti lebih mencabar.

Dengan dibarisi beberapa bekas pemain yang pernah beraksi di Liga Super dan Liga Premier, KSR Sains dijangka mampu memberi cabaran sengit kepada pasukan-pasukan lain.

“Kami adalah wakil dari Negeri Sembilan dan saya rasa gembira kerana dapat menjadi pengganti kepada Penjara FC sepertimana yang diharapkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).

“Memang hasrat kami mahu bermain di Liga M3 jika mendapat peluang dan berdasarkan perbincangan awal dengan pengurusan, secara dasarnya kami akan cuba mengharungi saingan Liga M3 musim depan.

“Malah mungkin ada penambahan lagi satu atau dua pemain, menguatkan lagi bahagian yang kita lihat ada kekurangan bagi memantapkan lagi pasukan, ” katanya.

Juara Piala Presiden PBNS itu mudah membenam cabaran AZE FC melalui kemenangan besar 6-1 pada 21 Disember lalu dengan dua jaringan menerusi Khaizil Jasmi pada minit 4 dan 45 selain bekas penyerang Negeri Sembilan, Firdaus Azizul pada minit 28 dan 61.

Mohd. Suhaili Abdul Rahman dan Sesoo Moses masing-masing turut sumbangkan satu jaringan pada minit 37 dan 80 manakala jaringan saguhati AZE FC melalui Ismail Mamat pada minit 43.

Ikram Muda FC bakal menjadi lawan KSR Sains pada aksi final pusingan play offs kelayakan ke Liga M3 apabila mereka menyingkirkan juara Liga Komuniti Puchong, Thai Selangor FC, menerusi kemenangan 3-2 selepas masa tambahan.

Dalam masa sama, Syed Mazlan berbangga dapat membantu anak jati Negeri Sembilan yang sukar mendapatkan tempat di pasukan-pasukan lain meneruskan kerjaya mereka bersama KSR Sains.

Menurutnya, perkara itu sememangnya menjadi salah satu objektif utama pihak pengurusan selain membuka peluang pekerjaan kepada pemain-pemaint tersebut.

“Secara dasarnya, kami memang mahu memberi ruang terutama pemain yang berasal dari Negeri Sembilan jika mereka tiada pasukan berminat mengambil mereka.

“Bukan sahaja beraksi dengan pasukan tetapi mereka diberi ruang menjadi staf untuk bekerja dengan KSR Sains jika ada peluang pekerjaan bersesuaian kepada mana-mana pemain, “ katanya.

Antara pemain yang mempunyai nama-nama besar dan kini menjadi tonggak KSR Sains ialah Yosri Derma Raju, K. Ravindran, A. Segar dan Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad selain Firdaus Azizul.

- Advertisement -