100PLUS.latestOleh Muhammad Aiman

Kuala Lumpur mengukuhkan cengkaman di tangga teratas 100 Plus Liga Premier setelah bangkit dari ketinggalan untuk menundukkan Kuantan FA 2-1 di Stadium Darul Makmur.

Skuad bimbingan Ismail Zakaria ketinggalan pada babak pertama menerusi jaringan Dao Bakary, namun jaringan Casagrande pada minit ke-64 dan Zhafri Yahya empat minit sebelum tamat perlawanan memastikan skuad helang kota pulang dengan tiga mata dan mengungguli saingan Liga Perdana dengan 14 mata.  

Pencabar terdekat, Negeri Sembilan pula terus mengekori rapat dengan beza dua mata di belakang setelah mencatat kemenangan 4-0 ke atas Sime Darby FC di Stadium Selayang menerusi dua jaringan masing-masing oleh Taylor Reagan dan Joel Chianese.

Dalam pada itu hasrat PKNS Selangor untuk melebarkan rekod kemenangan kepada lapan perlawanan berturut-turut dinafikan Johor Darul Takzim II yang bangkit bergaya dari ketinggalan 0-3 untuk mencatat keputusan seri 3-3.  

PKNS dilihat berpeluang cerah meneruskan rentak kemenangan apabila mendahului 3-0 selepas 50 minit perlawanan – terima kasih kepada dua jaringan Matias Jadue dan gol sendiri oleh Dominic Tan, namun JDT II kembali dalam permainan menerusi dua jaringan Shafiq Shaharudin dan mencuri satu mata menerusi jaringan penyamaan Shahril Ishak.

Keputusan lain menyaksikan DRB Hicom mencatat keputusan seri 2-2 menentang Perlis di gelanggang sendiri. Perlis dua kali mendahului menerusi jaringan Kayne Vincent dan Mohamadou Sumareh sekadar untuk DRB bangkit menyamakan kedudukan menerusi Fakrul Aiman dan Ivan Babic.

Sabah pula mencatat kemenangan pertama musim ini setelah menundukkan Angkatan Tentera Malaysia 3-1. 

- Advertisement -