Berikutan kejayaan yang ditempa atlet olahraga pelari pecut lelaki ketika ini, skuad olahraga wanita berazam memburu emas terutama dalam acara 4×100 meter pada sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos nanti. 
Pelari pecut kelahiran Kedah, Zaidatul Husniah Zulkifli optimis dalam misi mencari kilauan emas bagi KL2017 berikutan kejayaan kuartetnya mencipta masa terbaik memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali dalam acara 4×100 meter sebelum ini. 
“Di Olahraga Terbuka Thailand, kami sudah pecahkan rekod dan sekali lagi di Kejohanan Balapan dan Padang Asia (ATF) di India.
“Tapi kalau diikutkan, kami perlu melakukan catatan bawah 44 saat baru boleh capai emas di sukan SEA nanti,” katanya. 
Kuartet wanita negara yang dibarisi Zaidatul Husniah Zulkifli, Siti Fatima Mohamad, Nurul Faizah Asma Mazlan dan S Komalam Shally sebelum ini pernah memecahkan rekod kebangsaan 4×100 meter dengan catatan 45.18 saat di ATF, India. 
Mengulas lanjut mengenai matlamat kuartet beliau ketika ini, atlet berusia 24 tahun itu berkata “Ketika ini matlamat utama kami ialah mencari keserasian di antara rakan sepasukan supaya kami boleh mempertingkatkan lagi catatan masa.
“Sebelum ini kami sudah berkerjasama sejak Sukan SEA Singapura 2015, tetapi kami akui masih ada kelemahan dan kami akan mengatasinya dengan bantuan jurulatih menerusi kejohanan di Vietnam pada 26 Julai ini,” katanya lagi.
Terdahulu, kuartet wanita negara dibarisi Shereen Samson Vallabouy, Zaidatul Husniah Zulkifli, Siti Fatima Mohamad, dan S Komalam Shally namun Shereen mengalami kecederaan hamstring kanan sewaktu sesi latihan dua hari sebelum berlepas ke kejohanan ATF di India. 
Namun kuartet wanita negara dengan pantas menemui keserasian dengan menggantikan Shereen dengan pelari Nurul Faizah Asma Mazlan sekaligus menempa kejayaan memecah rekod di kejohanan tersebut dengan catatan masa 45.18 saat. –OLEH HUSNIYAH GHAZALI 
- Advertisement -