Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak tetap memuji keseluruhan pasukan terutamanya dua pemain muda, Amirul Hisyam Awang Kechik dan Mohd Fadzrul Danel yang bekerja keras memberi tentangan sengit meskipun tewas 1-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan CIMB Piala Sumbangsih 2020, semalam.

Aidil menyifatkan keputusannya untuk tidak menurunkan pemain tengah berpengalaman David Rowley dan Amin Nazari dalam kesebelasan utama sebaliknya mempertaruhkan dua pemain muda itu adalah tepat bagi memberi peluang kepada mereka untuk beraksi.

Nyata, aksi Amirul dan Fadzrul di bahagian tengah tidak mengecewakan untuk memberi masalah kepada skuad Harimau Selatan itu dan mencipta peluang mengasak lebih garang ke kubu lawan pada separuh masa pertama.

Jelas Aidil, ini membuktikan beliau kini sudah mampu untuk meletakkan kepercayaan kepada pemain muda selepas ini sambil menyifatkan kekalahan kepada JDT semalam bukanlah disebabkan oleh kegagalan pemain tetapi hanya rezeki tidak memihak kepada mereka.

“Saya memang suka pemain-pemain muda yang saya ada dalam pasukan sekarang kerana mereka mempunyai sesuatu yang pemain senior tidak ada iaitu keghairahan dan keinginan yang ditonjolkan di atas padang.

 

 

“Saya tidak menurunkan Rowley dan Amin dalam skuad utama bukan bermaksud mereka tidak bagus, tetapi saya memerlukan tenaga dan kekuatan pemain muda untuk mengawal bahagian tengah dan mereka berjaya membuktikan sesuatu kepada saya.

“Satu permulaan yang bagus walaupun kami tewas kerana ini akan mencipta satu persaingan yang sihat sesama mereka dalam pasukan ini untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama”, jelasnya.

Sementara itu, pengendali JDT, Benjamin Mora pula menyifatkan kemenangan yang diraih untuk mempertahankan trofi Piala Sumbangsih ini bukanlah semudah yang disangka kerana Kedah berjaya memberi tentangan cukup sengit.

Tambahnya, persembahan yang ditampilkan oleh juara Piala FA 2019 itu cukup berbeza jika dibandingkan dengan perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu dan barisan pemain agak bergelut untuk mencari gol sebelum akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit 45 menerusi Mauricio Nascimento.

“Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang hadir memberi sokongan sehingga kami berjaya membawa pulang trofi ini.

“Tetapi, ingin saya katakan bahawa kemenangan ini bukan senang untuk diraih dan ia merupakan perlawanan yang sangat sukar untuk kami kerana corak permainanan ditampilkan Kedah sudah banyak berubah dan lebih baik.

“Bukan senang untuk pemain saya membaca pergerakan mereka sebelum akhirnya berjaya mendapatkan satu jaringan dan selepas itu, pasukan bergelut untuk menguasai keseluruhan permainan”, katanya.

JDT berjaya mempertahankan trofi Piala Sumbangsih buat kali ketiga berturut-turut dan lebih manis ia diraih di laman baharu mereka iaitu Stadium Sultan Ibrahim yang pastinya akan menjadi permulaan positif dalam misi mempertahankan CIMB Liga Super pula selepas ini.

- Advertisement -