Langkah diambil Malaysian Football League (MFL) untuk memartabatkan profesion pengadil dengan memperkenalkan penggunaan pengadil professional pada tahun ini, turut mendapat pujian dari bekas pengadil kebangsaan Indonesia, Yandri.
Yandri yang kini memangku tugas sebagai Setiausaha Agung Kelab Bolasepak Indonesia, PS Tira, berpendapat keputusan MFL itu bukan sahaja dapat menjadikan Liga Malaysia menjadi satu industri lebih menarik dan mengangkat nama negara di Asia Tenggara.
Tetapi dalam masa sama mampu menarik lebih ramai pemain asing dengan reputasi hebat untuk membuat penampilan di Liga Malaysia.
Beliau yang memiliki pengalaman lebih daripada 10 tahun dalam karier pengadilan juga merasakan ianya satu langkah tepat jika Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengikut jejak MFL yang sentiasa berusaha keras menaikkan imej bola sepak Asia Tenggara di persada antarabangsa.
“Saya rasa apa yang dibuat oleh MFL adalah satu perkara yang cukup bagus. Jadi, pengadil mereka telah memiliki identiti tersendiri disebabkan status mereka menjadi sepenuh masa atau profesional.
“Sebahagian besar pengadil di Indonesia hanya separuh masa dan Indonesia juga berminat untuk buat perkara yang sama tetapi malangnya kami tidak memiliki personaliti sama seperti MFL yang telah bertindak meletakkan pengadil mereka di bawah satu organisasi bebas.
“Sebenarnya pengadil juga memiliki hal sama rata seperti pemain dan jurulatih profesional di mana saya yakin mereka akan lebih profesional dari segi tingkah laku dan sikap memandangkan mereka turut menerima bayaran setara seperti pemain atau jurulatih kelab,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Persib Bandung Teddy Tjahjono turut senada dengan pandangan Yandri yang melihat pengadil perlu dikendalikan oleh badan bebas.
“Sudah semestinya pengadil perlu dikendalikan badan bebas dan tidak terikat dengan mana-mana organisasi. Ini penting supaya tidak ada pihak luar campur tangan dalam urusan pengadil.
“Dengan cara ini pengadil boleh bertugas dengan lebih profesional dan mereka juga pasti selesa kerana mendapat bayaran lebih lumayan, setimpal dengan tugas yang diamanahkan,” katanya.
Terdahulu, MFL bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan perjumpaan bersama Profesional Game Match Official Limited (PGMOL) di London minggu lalu bagi mendapatkan khidmat nasihat bersama badan induk pengadil profesional Liga Perdana Inggeris itu bagi penubuhan PMOM.
Pertemuan ini bertujuan mendapat gambaran lebih jelas serta kepakaran daripada pihak PGMOL dalam meningkatkan kualiti pengadilan Liga Malaysia.
Sebagai rekod, PGMOL yang sebelum ini dikenali Board of Match Official Game Board, ditubuhkan ketika pengadil Liga Perdana Inggeris menjadi profesional pada tahun 2001 dan menjadi badan yang bertanggungjawab untuk pegawai perlawanan dalam bola sepak profesional Inggeris. – OLEH MUHAMMAD AIMAN