SARAWAK mengutip emas kedua dari arena bowling di Sunway Mega Lane, apabila gandingan Lavinia Kho Jia Jie dan Nur Hazirah Ramli memastikan emas dalam acara Doubles Wanita, hari ini.

Selepas Lavinia cemerlang memastikan emas dan Nur Hazirah menang perak acara Singles kelmarin, pasangan Sarawak itu tampak sukar disekat apabila mengumpul 2,364 pin, jauh di depan pasangan Melaka, Nurul Natasha Fadwin/Puteri Nurshahira Sharidza (2,306).

Pasangan Johor, Anis Hannani Romzi/Nurul Aishah Salleh memungut gangsa (2,268).

Dalam acara Double Lelaki, pasangan Wilayah Persekutuan Haikal Hazlan dan Shaqeem Izwan Teh membuat 2,558 jatuhan pin, mengatasi pasangan Pahang, Danial Haikal Izwan Suhadi (2,478) dan pasangan Negeri Sembilan, Muhammad Ameer Shah Azmi/Muhammad Azri Azmi (2,475).

Sementara itu, Pulau Pinang turut menyinar dengan emas dalam acara Trio Lelaki yang berlangsung sengit tetapi gandingan Megat Zaqrul Haikal Megat Zarudin/Muhammad Hariz Adlan Azman/Muhammad Shafiy Zaim Noor Azam lebih tenang dalam balingan mereka.

Trio Pulau Pinang itu mengumpul keseluruhan 3,671 jatuhan pin, hanya 4 pin di depan trio Wilayah Persekutuan (3,667) manakala trio Sarawak menang gangsa (3,665).

Trio wanita Perak juga membuat kejutan apabila menang emas menerusi gandingan Alyaa Addini Zulamri/Nor Baitul Ayu Atisya Ayob/Noratiqah Syauqina Hasmidi yang mengumpul keseluruhan 3,594 pin, mengatasi trio Terengganu (3,480) dan Selangor (3,434).

- Advertisement -